Surah Al-Masad dan asbab nuzulnya

By Ainum Lathifah - July 03, 2018



Mukaddimah

Turunnya al-Quran adalah untuk menjadi petunjuk bagi sekalian umat manusia seperti firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat dua;

A002

Maksudnya, “Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.” Allah mencatat pelbagai  kisah untuk mengajar hamba-hamba-Nya supaya lebih beriman.

Surah Al-Masad merupakan surah ke 111 daripada 114 surah yang terdapat di dalam al-Quran. Kedudukan surah ini di dalam kitabullah adalah pada halaman 603 pada juzu’ ketiga puluh. Surah ini merupakan surah Makiyyah yakni ayat ini diturunkan di Makkah dan mempunyai lima ayat. Surah Al-Masad merupakan salah satu daripada surah terpendek yang terdapat di dalam al-Quran. Selain itu, surah ini juga dikenali dengan nama lain iaitu Surah Al-Lahab yang bermaksud api yang berkobar-kobar dan juga Surah Tabbat berdasarkan ayat di awal surah ini iaitu تبت يدا أبي لهب وتب  yang bermaksud “celakalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia memang celaka dan rugi.” [1]

Al-Masad bermaksud tali yang disimpul. Surah ini dinamakan Surah Al-Masad kerana pada keseluruhan ayat ini Allah telah menegaskan perihal Abu Lahab yang telah memusuhi dan melakukan pelbagai angkara terhadap Nabi Muhammad s.a.w, akan menerima balasan berupa kebinasaan. Allah telah berfirman bahawa Abu Lahab akan menerima balasan yang seburuk-buruknya di dalam api neraka yang marak lagi bergelojak. Manakala isterinya yang merupakan pembantu setia Abu Lahab, akan menjadi pembakar kayu bakar dan diseksa di neraka bersama suaminya. Di samping itu,dilehernya akan dipakaikan “Al-Masad” iaitu tali yang dibuat daripada sabut untuk menambahkan lagi kehinaannya.

Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaily , surah ini memaparkan kemusnahan dan nasib malang Abu Lahab yang menjadi musuh kepada Allah SWT dan juga Rasul-Nya di dunia. Abu Lahab di campakkan ke dalam Neraka Jahannam sebagai balasan kerana sentiasa menyakiti Nabi s.a.w. Dia sentiasa menghalang manusia daripada beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah s.a.w. [2]

Begitu juga dengan isterinya yang bersekongkol dengan suaminya turut akan menerima azab yang pedih daripada Allah SWT. Memandangkan dia telah menjadi pembantu setia suaminya dalam mengekalkan kekufuran dan permusuhan terhadap Islam, Nabi Muhammad s.a.w dan juga para sahabat baginda, maka di hari kiamat kelak dia akan turut menjadi pembantu menambahkan azab yang pedih terhadap suaminya di dalam Neraka Jahannam. 

Terdapat perkaitan antara Surah Al-Masad dengan surah sebelumnya iaitu Surah Al-Nashr. Di sini terdapat semacam penampilan yang bertentangan di antara kedua-dua surah ini. Di dalam Surah An-Nashr, Allah SWT menyebut mengenai balasan orang yang patuh kepada-Nya ialah kemenangan, kejayaan menakluk dan membuka kota Makkah serta kemenangan di dunia, di samping ganjaran pahala yang lumayan di akhirat. Manakala di dalam surah ini Allah SWT menyebutkan balasan bagi golongan penderhaka yang mendapat kerugian di dunia dan azab yang pedih di hari akhirat.  [3]

Begitulah cerita Allah tentang orang-orang yang melakukan kejahatan terhadap Rasulullah (s.a.w). Azabnya balasan derita yang Allah turunkan kepada manusia yang mendustakan kebenaran.


Tafsir Ayat


Image result for surah al masad


1. binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.
2. tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang dia usahakan.
3. kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.
4. dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar.
5. yang di lehernya ada tali dari sabut.

Berikut adalah ayat al-Quran dari Surah Al-Masad bersama terjemahan. Kisah ini merupakan gambaran tentang hukuman perbuatan jahat Abu Lahab dan isterinya terhadap Nabi Muhammad s.a.w.

Abu Lahab atau nama sebenarnya ialah Abdul Uzza bin Abdul Mutalib adalah salah seorang daripada bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w dan dia merupakan orang yang paling terkenal dan berharta pada waktu itu semenjak sebelum kedatangan Islam lagi. Dia dinamakan Abu Lahab kerana wajahnya yang menyala dan kemerahan. Abu Lahab merupakan cucu kepada Hashim. Isterinya yang cantik bernama Arwa binti Harb ibnu Ummayah dan digelar sebagai Ummu Jamil. Wanita ini merupakan adik perempuan kepada Abu Sufyan. Masyarakat arab pada waktu itu memandang tinggi kepada pasangan ini disebabkan keindahan rupa paras dan ketinggian status yang mereka miliki.

Sebelum datangnya Islam, hubungan kekeluargaan Nabi Muhammad s.a.w dengan bapa-bapa saudaranya sangat baik termasuklah dengan Abu Lahab. Pernah disebut dalam satu riwayat bahawa sewaktu kelahiran baginda, Abu Lahab menyatakan dengan suka citanya bahawa kedatangan baginda dipandang sebagai pengganti adiknya yang meninggal dunia pada usia muda iaitu Abdullah. Bukti kasih sayang Abu Lahab kepada baginda Muhammad adalah apabila dia  mengirim seorang jariahnya yang muda bernama Tsuaibah untuk menyusukan Nabi sebelum datangnya Halimatus Sa’adiah dari perkampungan Bani Sa’ad. [4]

Menurut Ibnu Abbas, sebab turun ayat ini seperti yang thabit diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain lagi bahawa sewaktu diturunkan ayat yang mafhumnya, “Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu (Muhammad) yang terdekat.”  

Lalu baginda pun keluar daripada rumah dan menuju keluar menuju Batha’ iaitu sebuah perhimpunan besar di Makkah bertempat di Bukit Safa. Rasulullah s.a.w lantas menyeru “Ya Shabahah!” (Berkumpullah pagi-pagi!) Penduduk-penduduk di situ mulai tanya bertanya siapakah gerangan yang menyeru itu dan ada yang menjawab “Muhammad.” Mereka semua pun berkumpul di tempat itu. 

Setelah mereka berkumpul, Nabi Muhammad s.a.w. pun berkata, “Apa pendapat kamu semua jika aku memberitahu kamu bahawa terdapat tentera berkuda yang bersenjata di sebalik bukit ini, adakah kalian mempercayai aku?” Lalu semua daripada mereka menjawab, “Kami tidak pernah melihat kamu berdusta.” Maka baginda pun meneruskan ucapannya, “Sesungguhnya aku ini adalah pemberi ingatan kepada kalian bahawa kalian berada di ambang seksa yang amat pedih.” Tiba-tiba Abu Lahab bersuara lantang, “Apakah hanya untuk ini kamu mengumpulkan kami? Celakalah kamu!” Tidak berapa lama kemudian turunlah surah ini.

Berkata Al Bukhari,
حدثنا محمد بن سلام أخبرنا أبو معاوية حدثنا الأعمش عن عمرو بن مرة عى سعيد بن جبير عن ابن عباس أن النبي صلى الله عليه و سلم خرج الى البطحاء فصعد الى الجبل فنادى يا صباحاه فاجتمعت اليه قريش فقال أرأيتم ان حدثتكم أن العدو مصبحكم أو ممسيكم أكنتم تصدقوني قالوا نعم قال فاني نذير لكم بين يدي عذاب شديد ققال أبو لهب ألهذا جمعتنا تبا لك فانزل الله عز وجل (تبت يدا ابي لهب) الى آخرها

“Berkata kepada kami Muhammad bin Salam, berkata kepada kami Abu Mu’awiyah, berkata kepada kami Al A’masy dari Amru bin Marrah dari Sa’id bin Jubair dari Ibnu Abbas bahawa Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam keluar menuju ke atas bukit dan memanggil orang-orang Quraisy, maka berkumpullah orang-orang Quraisy kepadanya, maka baginda bersabda: “Bagaimana pendapat kalian jika aku katakan kepada kalian bahawa pada waktu pagi atau waktu petang musuh akan datang kepada kalian, apakah kalian mempercayaiku?,” mereka menjawab: “Ya,” kemudian baginda bersabda: “Maka sesungguhnya aku memperingati bagi kalian tentang adanya seksaan yang amat pedih.” Maka berkata Abu lahab: “Apakah untuk ini engkau mengumpulkan kami? Binasalah engkau!” [5]

Berkata Imam Ahmad, 
“Berkata kepada kami Ibrahim bin Abu Al ‘Abbas, berkata kepada kami Abdurrahman bin Abu Zinad dari ayahnya, dia berkata, mengkhabarkan kepada aku seorang lelaki yang disebut Rubai’ah bin Ibad dari Bani Ad-Dail, dia dahulu ialah seorang jahiliyah kemudian memeluk Islam, dia berkata, di masa jahiliyah aku melihat Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam di pasar Dzul Majaz dan baginda bersabda: “Wahai manusia, katakanlah tiada Tuhan selain Allah, maka kalian akan berbahagia.”, dan manusia berkumpul disekeliling baginda dan di belakang baginda ada seorang lelaki yang bercahaya wajahnya dan berkata: “Sesungguhnya dia adalah pendusta,” maka aku bertanya tentangnya lalu mereka berkata, dia adalah bapa saudara baginda iaitu Abu Lahab. Berkata Abu Az-Zinad, aku bertanya kepada Rubai’ah: Saat itu engkau masih kecil? Dia menjawab: “Demi Allah tidak, sungguh ketika itu aku sudah berfikir.”
Imam Ahmad meriwayatkan hadis ini seorang diri. [6]

Ibnu Ishaq menceritakan riwayat dari Rabiah ibnu ‘Abbad ad-Daili yang berkata: 
“Ketika aku masih kecil aku bersama bapaku memerhatikan Rasulullah SAW berdakwah kepada suku-suku Arab dengan berkata, ‘Wahai bani fulan.., aku adalah Rasul Allah yang diutus kepadamu untuk memerintahkan kamu supaya tunduk dan menyerah diri hanya kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan-Nya. Dan hendaklah kamu membenarkan aku serta membelaku hingga aku menyelesaikan apa yang ditugaskan Allah kepadaku.’ Setelah itu ada seorang yang bermata merah dan berwajah cerah, selalu berkata di belakangnya, ‘Hai bani fulan.. orang ini mahu supaya kau meninggalkan Tuhan Lata dan Uzza (dua berhala yang amat disanjung oleh bangsa Arab musyrik) dan mengajak kamu supaya setia kepada jin dari Bani Malik ibnu Aqmas dengan mendatangkan bid’ah dan kesesatan. Maka janganlah kamu menghiraukannya dan jangan mengikutinya.’ Aku bertanya kepada bapaku siapakah orang itu lalu bapaku memberitahuku bahawa itulah Abu Lahab, bapa saudara Nabi.”
(Imam Ahmad dan Tabarani) [7]

Abu Lahab adalah orang yang paling banyak menyakiti Rasulullah s.a.w. Dia menghina serta menghambat dakwah yang dibawa oleh baginda. Begitulah kejahatan yang dilakukan oleh Abu Lahab. Isterinya pula merupakan pembantu setia dalam melakukan angkara terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Tidak pernah putus sokongan yang diberi kepada suaminya, Abu Lahab. Menurut pendapat Sayyid Qutb di dalam kitabnya,  mereka memutuskan pertunangan kedua-dua anak lelaki mereka dengan kedua-dua anak perempuan Nabi s.a.w supaya baginda merasa terbeban untuk membela dan member nafkah kepada keduanya. [8] Manakala banyak pendapat yang mengatakan Abu Lahab ialah besan kepada Nabi Muhammad s.a.w seperti yang diperkatakan oleh Prof. Dr. Hamka,  bahawa setelah anak-anak mereka berdua dewasa, salah seorang daripada puteri Rasulullah s.a.w berkahwin dengan anak lelaki Abu Lahab. [9]

Diceritakan di dalam Tafsir Al-Azhar, anak-anak Abu Lahab ada yang memeluk Islam sewaktu dia masih hidup dan ada juga sewaktu dia telah mati. Tetapi seorang anak lelakinya yang bernama ‘Utaibah, telah berkahwin dengan anak perempuan Rasul s.a.w iaitu Ruqaiyah. Namun begitu, Abu Lahab telah memaksa anaknya itu untuk menceraikan Ruqaiyah dan lelaki itu menurut sahaja kemahuan ayahnya. Kemudian baginda mengahwinkan anak perempuannya itu dengan Uthman bin Affan. Nabi Muhammad mengatakan bahawa bekas menantunya itu akan binasa dimakan oleh “anjing hutan”. Lalu dalam perjalanannya membawa perniagaan Abu Lahab ke negeri Syam, dia telah diterkam singa sehingga mati di sebuah tempat bermalam di jalanan. [10]

Menurut riwayat dari Abdurrahman bin Kisan, sekiranya ada utusan dari kabilah-kabilah Arab datang menemui Rasulullah s.a.w di Makkah untuk diterangkan tentang Islam, mereka akan menemui Abu Lahab. Kalau orang itu bertanya kepadanya tentang anak saudaranya itu pasti dia akan memburukkan baginda dan mengatakan “kadzzab, sahir.” Iaitu penipu dan tukang sihir. Namun begitu, usahanya gagal sahaja kerana Allah sudah berjanji dengan lafaz ayat-Nya yang pertama dalam Surah Al-Masad iaitu “binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.” Ayat ini menerangkan sejauh manapun dia berusaha untuk menghalang usaha dakwah Nabi s.a.w, dia pastinya akan gagal. Bukan sahaja kedua-dua tangan itu akan binasa malahan dirinya sendiri, rohani serta jasmaninya pun akan binasa. Seterusnya, disambung pula dengan ayat kedua yang bermaksud “tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang dia usahakan.” Segala kemewahan yang dia miliki tidak akan dapat menghalang azab Allah ke atasnya. Abu Lahab tidak akan terlepas dari azab dan seksaan daripada Allah SWT. Menurut Hamka, Abu Lahab mati sengsara kerana terlalu sakit hati mendengar kekalahan terlalu sakit hati mendengar berita kekalahan kaum Quraisy dalam Perang Badar. Dia sangat yakin bahawa kaum Muslimin akan kalah kerana bilangannya yang sedikit. Namun begitu yang terjadi adalah sebaliknya. Sangat kecewa dan marah Abu Lahab mendengar berita itu lalu dia pun mati. Kekesalan jelas terbayang di wajah jenazahnya.

Dalam ayat yang berikutnya pula, Allah menyebut tentang hukuman yang menimpa khususnya kepada Abu Lahab dan Ummu Jamil. Firman Allah yang bermaksud, “kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.” adalah sebagai peringatan bahawa Abu Lahab akan dihumbankan ke dalam Neraka Jahannam yang marak bergelojak untuk membakar kulit-kulit manusia yang kafir. [11]

Disebut dalam Tafsir Di Bawah Naungan Al-Quran bahawa Abu Lahab dan isterinya melancarkan serangan tanpa henti terhadap Nabi s.a.w dan risalah yang dibawanya. Ummu Jamil selalu membawa duri-duri dan kayu-kayu tajam lalu meletakkannya di tempat laluan baginda. Oleh sebab itu, Allah menurunkan ayat yang bermaksud “dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar” di dalam surah ini bertujuan sebagai kiasan untuk segala pembohongan dan perbuatan kejinya terhadap baginda. [12]  Dikatakan juga bahawa ayat ini memberi peringatan bahawa isteri Abu Lahab merupakan seorang pengadu domba dan orang yang suka menabur fitnah terhadap orang lain terutamanya terhadap orang yang beriman kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad s.a.w. Inilah pandangan kebanyakan ulama’. [13]

“Yang di lehernya ada tali dari sabut.” Ayat seterusnya ini memberi peringatan bahawa di leher Ummu Jamil akan dililit oleh tali yang diperbuat daripada sabut. Peritnya azab yang akan ditanggung mereka berdua kerana sabut akan memarakkan lagi api yang sedia bergelojak di dalam neraka. Terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa Ummu Jamil mempunyai seutas kalung dan loket yang besar dan mahal. Dia bersumpah untuk menafkahkan kalung itu untuk melangsungkan permusuhan terhadap Muhammad s.a.w, maka Allah menggantikan kalung tersebut dengan tali leher yang diperbuat daripada masad api neraka.

Berkata Ibnu Jarir, berkata kepada kami Abu Karib, berkata kepada kami Waki’ dari Salim dari Asy-Sya’bi, ia berkata, Al-Masadu ertinya Al-Liffu iaitu sabut yang dibuat dari pelepah kurma atau pelepah kelapa, dan berkata ‘Urwah bin Az-Zubair, Al-Masadu adalah rantai besi yang panjangnya tujuh puluh hasta, dan dari Ats-Tsauri, Al Masadu adalah kalung dari api neraka yang panjangnya tujuh puluh hasta, berkata Al-Jauhari, Al Masadu adalah Al-Liffu iaitu sabut yang kadang-kadang dibuat dari kulit unta. Berkata Mujahid, Al Masadu ertinya perhiasan wanita dari besi. Orang Arab menyebut wanita perawan dengan sebutan Al Masadu.  Berkata sebahagian ulama tentang ayat kelima dari surah Al-Masad ini yang bermaksud “pada lehernya terdapat tali dari masad” adalah kerana pada lehernya terdapat tali dari api neraka yang mana dengan tali itu dia diangkat ke mulut api neraka lalu dilemparkan kedalamnya dan begitulah secara terus-menerus. [14]

Sayyid Qutb menukilkan dalam Tafsir Di Bawah Naungan Al-Quran pada halaman 575, bahawa bahasa surah ini mencapai darjat keindahan yang sempurna di antara pokok persoalan yang dibincangkan dengan udara yang terbina di sekelilingnya. Abu Lahab akan dicampakkan ke dalam api neraka dengan Lahab, yang bermaksud api yang bergelojak. Manakala isterinya yang membawa kayu dan bahan bakar akan mengalami nasib yang sama dengan tali sabutnya disekeliling lehernya. Jahannam akan membakar dengan dahsyatnya Lahab dan kayu-kayu tajam di jalan Nabi, benda-benda yang dapat menyemarakkan lagi jilatan api neraka, akan diseret ke Neraka Jahannam dengan tali terikat di lehernya seperti kayu bakar. Alangkah sempurnanya pasangan tersebut di antara kalimat-kalimat dan gambarannya; hukuman yang dikemukakan sama dengan perbuatan yang dilakukan iaitu kayu bakar, tali, api dan Lahab.

Menurut beliau lagi, kalimat-kalimat ayat tersebut disusun sedemikian rupa sehingga melengkapkan satu keharmonian yang indah di antara bunyi-bunyi yang dibuat melalui tarikan kayu dan tali di leher. Jika dibaca dalam Bahasa Arab ayat تبت يدا أبي لهب وتب  menjadikan seseorang dapat merasakan satu tarikan yang kuat, sama dengan ikatan kayu atau menarik leher seorang manusia yang enggan masuk kedalam api yang panas. Semuanya seperti berada dalam ketakutan, kedasyhatan dan galaknya nada yang bersesuaian dengan tema surah ini. Dengan itu, dalam lima ayat pendek dari salah satu dari surah-surah yang terpendek dalam al-Quran ini, melodi vokalnya sama dengan gerakan sebenar dalam pemandangan yang digambarkan.

Perpaduan yang kuat di dalam ungkapan ini menjadikan Ummu Jamil beranggapan bahawa Rasulullah s.a.w telah menyindirnya dengan syair, terutamanya pada waktu surah ini telah tersebar luas dengan kandungan isinya yang keras mengancam, menghina dan mencela dia dan suaminya. Perempuan Arab yang sombong dan hina ini tidak dapat menerima bahawa dia disamakan dengan ayat yang amat menghinanya, “pembawa kayu bakar” yang “di lehernya ada tali dari sabut.” Kemarahannya bertambah bila surah ini bertambah popular dalam kalangan suku-suku Arab yang menghormati gaya sastera tersebut.

Ibnu Ishaq menceritakan :  
Setelah Ummu Jamil mendengar ayat-ayat al-Quran mengenai dirinya dan suaminya, maka mereka berdua pun datang kepada Nabi s.a.w yang ketika itu sedang bersama Abu Bakr di ka’abah. Dia membawa segenggam batu. Setelah dia berdiri dekat mereka berdua, maka Allah menutup pandangannya terhadap Rasulullah s.a.w hingga dia hanya dapat melihat Abu Bakr. Kemudian dia berkata, ‘Wahai Abu Bakr, di manakah temanmu itu? Telah sampai kepadaku bahawa ia mengejekku. Demi Allah, jika kudapati dia maka akan kupukul dengan batu ini. Dan demi Allah, aku pun seorang penyair!’ Kemudian Ummu Jamil bersyair sebelum beredar dari situ:
‘Mencaci maki kami yang tidak mahu mengikut perintahnya, kami tidak ikut!’
Abu Bakr berpaling kepada Nabi lalu berkata: “Ya Rasulullah, apakah dia tidak melihatmu?” Nabi menjawab: “Tidak, Allah telah menjadikan dia tidak dapat melihat aku.” [15]

Selain itu, Al-Hafiz Abu Bakar al-Bazar juga menceritakannya, dengan riwayat Ibnu Abbas, bahawa ketika surah ini diturunkan, Ummu Jamil mencari Nabi s.a.w. Sewaktu baginda bersama Abu Bakr, dia muncul dan Abu Bakr pun berkata, “Dia tidak akan mengapa-apakan engkau jika engkau menyembunyikan dirimu, Ya Rasulullah!” Nabi berkata, “Janganlah engkau bimbang, dia tidak akan dapat melihat aku.” Ummu Jamil datang kepada Abu Bakr berkata kepadanya, “Demi Tuhan Ka’abah ini, dia tidak mencaci maki kamu. Dia bukanlah penyair dan apa yang diucapkannya itu bukanlah syair.” Ummu Jamil berkata, “Aku percaya katamu.” Dan kemudian dia meninggalkan tempat itu. Kemudian Abu Bakr bertanya Nabi sama ada Ummu Jamil telah melihatnya lalu baginda berkata, “Tidak, seorang malaikat telah melindungiku sepanjang masa ketika dia ada di sini.” [16]

Gambaran kehinaan Abu Lahab dan Ummu Jamil telah dicatitkan secara abadi di dalam kitab yang kekal yakni al-Quran. Hal ini demikian kerana Allah ingin menunjukkan kemarahan-Nya terhadap mereka yang terlalu benci dan dendam terhadap Rasul-Nya dan risalah yang dibawa baginda. Oleh sebab itu, sesiapa yang memilih untuk bersikap seperti Abu Lahab dan isterinya ini pasti akan menemui kebinasaan, kehinaan dan kekecewaan yang sama di dunia dan di akhirat kelak, sebagaimana sesuainya hukuman dan balasan.


Rumusan 

Surah Al-Masad ini menerangkan mengenai jenis azab yang akan ditimpakan ke atas Abu Lahab dan isterinya, Ummu Jamil serta seksaan yang mereka terima di dunia dan di akhirat. Azab yang dikenakan ke atas mereka setimpal dengan kehebatan penentangan dan permusuhan mereka terhadap Nabi Muhammad s.a.w. 

Ibnu Katsir ada mengatakan bahawa Tuhan menurunkan Surah Al-Masad ini sebagai iktibar kepada manusia yang mencuba untuk menghalangi dan menentang apa sahaja yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi-Nya, demi menurutkan hawa nafsu, mempertahankan kepercayaan yang salah, tradisi yang lapuk dan adat istiadat yang karut-marut. Mereka jadi lupa diri kerana mereka tahu mereka boleh melakukan apa sahaja dengan adanya wang ringgit. Dia menyangka bahawa dia itu kaya maka, dia akan berhasil melakukan apa sahaja. Tambahan pula, dia memiliki wajah yang indah dan disegani orang ramai kerana berpengaruh. Tetapi ternyata Tuhan itu lebih berkuasa dalam menyusun rencana-Nya. Semua niat jahat manusia itu gagal dan tidak menghasilkan apa-apa, malahan dia pula yang binasa.

Ibrah lain yang boleh didapati adalah orang yang hidup dengan kebencian akan mengalami nasib yang sama seperti Abu Lahab iaitu mati dengan tiba-tiba kerana terkejut bila menerima berita yang tidak diharap-harapkan. Selain itu, manusia seharusnya sedar bahawa harta kekayaan tidak akan memberi manfaat kepada dirinya kelak. Kemewahan hidup di dunia tidak dapat untuk mebeli syurga. Apa yang akan dihitung kelak hanyalah amal soleh. 

Khulasahnya, Allah itu Maha Berkuasa. Sesiapa sahaja yang berdosa pasti akan menerima balasan di dunia dan di akhirat. 


Rujukan
  1. Ibnu Katsir. (Cetakan kelima, 2004). Tafsir Juz ‘Amma. Darul Wathon, Riyadh, 1416H.
  2. Sayyid Qutb. (Cetakan kelima, 2001). Tafsir Di Bawah Naungan Al-Quran Juz 30. Penerbitan Jahabersa.
  3. Dr. Wahbah al-Zuhaily. (Cetakan pertama, November 2001). Tafsir Al-Munir Juz ‘Amma. Intel MULTIMEDIA & PUBLICATION.
  4. Prof. Dr. Hamka. (Cetakan ketiga, 1999). Tafsir Al-Azhar. Pustaka Nasional PTE LTD Singapura.



Nota Kaki

[1] Tafsir Al-Munir Juz Amma (halaman 461)

[2] Dr. Wahbah al-Zuhaily Tafsir Al-Munir Juz Amma halaman 462)

[3] Ibid halaman 461)

[4] Prof. Dr. Hamka (Tafsir Al-Azhar Jilid 10 halaman 8140)

[5] Ibnu Katsir (Tafsir Juz ‘Amma halaman 407-408)

[6] Ibid halaman 406

[7] Sayyid Qutb (Tafsir Di Bawah Naungan AlQuran halaman 571)

[8] Ibid halaman 573

[9] Tafsir Al-Azhar Jilid 10 halaman 8142

[10] Ibid

[11] Dr. Wahbah al-Zuhaily (Tafsir Al-Munir Juz ‘Amma halaman 465)

[12] Sayyid Qutb (Tafsir Di Bawah Naungan Al-Quran halaman 573)

[13] Dr. Wahbah al-Zuhaily (Tafsir Al-Munir Juz ‘Amma halaman 465)

[14] Ibnu Katsir (Tafsir Juz ‘Amma halaman 410)

[15] Sayyid Qutb (Tafsir Di Bawah Naungan Al-Quran halaman 576)

[16]Ibid halaman 576-577



--------------------------

p/s : sebenarnya ni assignment masa semester 1 dulu untuk subjek Tahfiz. rugi juga tersimpan saja dalam dropbox. semoga perkongsian ni akan ada yang dapat manfaatnya insyaAllah. dan maaf untuk format kertas kerja yang agak berterabur (even aku sendiri rasa disturbing) sebab masa kena buat kertas kerja ni, kami masih belum diajar format penulisan kertas kerja yang betul. jadi mohon bersabar bagi yang anti dengan format rempit macam ni.

ini assignment pertama aku. pertama kali yang sungguh mengasyikkan. segar lagi dalam kepala aku betapa passionate-nya aku siapkan tugasan ni. segar lagi dalam kepala aku berulang alik ke library mengusung kitab-kitab tebal ni dengan penuh rasa ingin tahu. segar lagi dalam kepala aku airmata laju saja mengalir sewaktu menaipkan satu demi satu huruf yang menceritakan tentang sayangnya Abu Lahab kepada ponakannya satu masa dulu namun akhirnya dia sendiri yang menentang sampai dicelakakan Tuhan. segar lagi dalam kepala aku macam mana Ustaz Muhammad menjelaskan tentang Surah Al-Masad di pagi jumaat tu. segar lagi dalam kepala aku kesejukan aircond dewan kuliah yang menambahkan lagi kegerunan tentang kisah itu. segar lagi dalam kepala aku ustaz berulang kali sebut "tabbat tabbat - celakalah celakalah" yang buat aku rasa sangat takut. orang sebut celaka pada orang lain depan kita pun kita dah tak sedap dengar, apalagi orang kata kita yang celaka. dan apalagi Allah sendiri yang sebut...

semoga kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang diberi kefahaman oleh Allah 'Azza wa Jalla.

  • Share:

You Might Also Like

3 comment(s)

“Hanya sedikit ini yang kutahu, kutulis ia untuk-mu, maka berbagilah dengan-ku apa yang kau tahu.”