Thursday, 12 January 2017

Sufi #3 : Matahari Darwisy


“Aku rasa aku baru tahu perasaan mabuk cinta itu bagaimana.” Ujarku sambil tangan ligat menyiapkan sarapan untuk keluarga.

“Kau sedang mabuk cinta, Arini? Pantas saja kau sering mengelamun. Lagi rindukan kekasih rupanya.” Rani memandangku dengan matanya yang bulat. Antara terkejut dan mahu mengusik. 

“Bukan aku, Sundara.” Aku membalas usikan Rani dengan menyebut namanya yang jarang disebut. Rani Sundara. Itulah nasib anak yang mempunyai ibu yang gilakan filem hindi.

Rani menjeling tajam. Siapa suruh panggil aku Arini. Tidak ada satu manusia pun yang memanggil aku Arini kecuali... ah, lupakan!

“Kau tahukan aku lagi baca buku tentang Mawlana Rumi? Tulisannya... subhanallah... terlalu sempurna terjemahan hatinya. Jelas tergambar dirinya yang mabuk cinta total!”

Rani mengambil sekeping roti bakar lalu duduk ditangga. 

“Satu hal yang aku belajar, kita tak akan mampu tulis perihal sesuatu dengan sebegitu baik kalau perasaan kita bukanlah begitu. Maksudku, kita tidak akan berupaya menulis tentang pedihnya patah hati sekiranya kita terlebih dulu tidak merasakannya, kan? Atau jika kita ditimpa penyakit kronik... mana mungkin kita boleh bercerita dengan jelas bagaimana sakitnya penyakit itu kalau kita sendiri tidak alaminya. Jadi, begitulah tulisan Rumi. Beliau bercerita tentang cinta dan kemabukan yang ada di dalamnya. Betapa menyembah Tuhan itu adalah satu ibadah yang memabukkan. Pastilah... beliau tidak akan berjaya menghasilkan karya yang begitu jelas dalam cintanya kalau beliau tidak memandang dan merasa cinta Tuhan dengan sebegitu asyik. Dan keasyikan itu cuma boleh diperoleh dengan ibadah yang sahih dan bebas dari keinginan duniawi.” Suara aku beransur perlahan di penghujung bicara. Terasa hati disentak dengan suara sendiri.

“Sufi...” Rani bersuara.

“Iya?” Aku memandangnya sambil meneruskan kerja.

“Sufi.” Rani sekali lagi menyebut namaku.

“Iya, kenapa kau Rani?” Suara aku sedikit tinggi. Tidak mengerti dengan Rani.

“Tidak. Aku maksudkan Rumi itu. Rumi itu seorang sufi. Merindui pertemuan dengan Tuhan adalah ibadah mereka. Dan kita masih lagi berkira-kira mahu mati.” 

“Dalam.” Aku berkata sepatah. Cukuplah untuk respon kepada setiap butir perkataan Rani. Makin dalam pula bicara pagi hari ini. Masing-masing mula tenggelam dalam fikiran sendiri. Sesekali kedengaran bunyi kaki ayam yang sedang menguis tanah. Inilah yang indah tentang hidup di kampung, kita dikelilingi nyawa selain manusia!

“Oh, kau tahu, aku pernah menulis di blog tentang tokoh yang aku kagumkan iaitu Aisyah binti Talhah dan aku memberikan analogi bahawa aku ialah bulan dan beliau ialah matahari. Kau tahu kenapa?”

“Kenapa?”

“Sebab cahaya bulan datang dari matahari. Jadi, begitulah kita dalam mencontohi guru. Qudwah yang kita ikut itu asalnya dari mereka dan kita cuma menunjukkan kembali. Seperti bulan terang di langit malam. Cantiknya bulan kerana cahaya matahari yang dipancarkan kepadanya. Ternyata Rumi juga memberi analogi yang sama tentang gurunya! Aku sedikit teruja sebab asal analogi itu memang asli dari otakku sewaktu menuliskannya pada Ramadhan 2012 yang lalu, bukan aku merujuk kepada tulisan-tulisan orang lain. Jadi, gila benar perasaan teruja ini bila tahu Rumi juga menulis hal yang sama.”

“Kau semakin menarik di mataku, Sufi Arini.” Rani memandangku dengan senyum yang manis. Mengada-ngada!

Aku menyambung lagi, “Rumi suka menggunakan ungkapan dan lambang yang ada hubungannya dengan cahaya. Baginya Tuhan boleh diumpamakan sebagai matahari yang terang-benderang. Al-Ghazali dalam kitab tasawufnya, Misykat Al-Anwar juga mengumpamakan Tuhan dengan “Matahari” dan manusia ialah bulan yang mendapat pantulan sinarnya. Rumi, untuk menyebut nama guru mistiknya, Syamsuddin dari Tabriz, berganti-ganti beliau menggunakan kalimat “matahari” dan “bulan”. Bila Rumi mengisahkan pertemuan dengan sahabat dan gurunya dari Tabriz itu, dalam suasana ekstasi mistis, beliau lebih sering menyebut Syamsuddin dengan “matahari”, di samping erti dari “Syamsi” itu sendiri memang matahari. Namun, yang dimaksudkan oleh Rumi adalah orang yang mencapai makrifat atau dekat dengan Tuhan. Sedangkan kalau beliau mengisahkan tentang kerinduan untuk bertemu guru dan Tuhan, Rumi lebih suka menyebut gurunya sebagai ‘bulan” yang memberi erti peribadi yang mendapat cahaya dari Tuhan. Menarik bukan?”

“Aku juga pernah membaca tulisannya tentang kehidupan di dunia yang diumpamakan dengan malam hari. Pada malam hari, yang ada ialah bulan yang sering ditutupi mendung iaitu nafsu-nafsu yang menyesatkan. Untuk melihat cahaya bulan itu, seseorang haruslah menyingkirkan mendung yang meliputi diri dan penglihatannya.” Rani menyambung teruja.

“Wah, itulah juga yang aku baca! Aku belum habis fikir... lagak apakah jiwa Rumi ini? MasyaAllah... membacanya saja aku jadi rindukan Tuhan. Tulisan seorang kekasih sememangnya paling berjaya menerobos...” Kata-kataku dihentikan oleh jeritan ibu dari ruang tamu. Aku dan Rani saling berpandangan. Ketawa meletus.

“Masuk ke hati pembaca. Dan jeritan ibu langsung masuk ke telinga kau.” Rani mula bangun untuk ke ruang tamu dengan ketawa yang masih tersisa. Aku mengangkat dulang makanan. Senyuman masih setia singgah dibibir. 


Setelah begitu lama,matahari tidak pernah bilang pada bulan,  
“kau berhutang kepadaku”. 
Lihat apa yang terjadi dengan cinta seperti ini,ia menyalakan langit! 
- Mawlana Rumi


Terima kasih, untuk engkau seorang darwisy yang ibadahmu terlalu terang sehingga jalan untukku dihala jelas ketika aku lagi teraba-raba di dalam gelap. 

Baarakallahu fiik.



Kuantan, 1 Januari 2017 | © meremuna


------------
Rujukan : 
Belajar Hidup Dari Rumi - Serpihan-serpihan Puisi Penerang Jiwa, Haidar Bagir.


Tuesday, 10 January 2017

Sufi #2 : Jika Bulan Pernah Muram


“Masuklah, Sufi. Duduk di sini ertinya merelakan diri jadi santapan nyamuk-nyamuk lapar.” Sepupu aku, Rani, tiba-tiba datang memecah lamunan. Aku sedikit kaget.

“Aduh, kau ini Rani… kasi salam dulu sebelum tegur. Untung aku masih sihat walafiat.”

“Lagi mengelamun, ya? Fikirkan siapa, dik Sufi yang manis?” Rani mengusikku nakal.

“Hish! Mengelamun apa kalau bunyi nyamuk terlalu dekat di telinga. Mahu berfikir pun tidak sempat.” Aku ketawa tawar. Dalam hati tertanya-tanya sendiri, memangnya aku lagi mengelamun tadi?

Rani mencebik. Dihirup perlahan kopi panas yang dibawa bersama.

“Mahu?” Kopi disua kepadaku.

“Terima kasih saja. Aku sudah lama tidak minum kopi.” Hm, kopi panas… pada bahagian ini pun aku belum lulus melupakan.

Rani kembali menghirup kopinya. Aroma kopi begitu kuat, bukan cuma hidung yang merasa tetapi ia berjaya menembus masuk ke dalam hati. Ah, kenapa harus kopi sekarang!

“Kenapa bulan kelihatan muram malam ini?” Monologku terhenti oleh suara Rani. Aku toleh kepadanya dan dia sedang memandang langit. Aku ikut pandang bulan yang pucat diselubungi awan.

“Mungkin bulan mahu kasi tahu yang… bulan yang cantik sempurna pun ada ketikanya kelihatan tidak sempurna.” Rani menyambung lagi. Aku tersenyum nipis.

“Aku tidak merasakan begitu, Rani. Kelihatan sempurna itu bergantung pada sesiapa yang melihat. Di mata aku, bulan masih tampak sempurna walaupun dengan rupa muramnya.”

“Okay, aku setuju. Awan tebal malam ini. Sang purnama tenggelam. Entah apa yang dibisik awan sehingga bulan muram sebegini.” Rani menyambung hirupan terakhir.

“Awan sedang lindungi bulan. Awan tidak mahu kecantikan bulan diratah mata orang. Aku rasa malam ini bulan purnama luar biasa bersinar. Oleh sebab itu awan menyelubunginya. Mungkin awan khuatir langit akan menjadi cerah dan kita tidak mampu lelapkan mata.” Belum sempat aku teruskan bicara, lenganku ditampar perlahan oleh Rani. Aku memandangnya hairan.

“Kau mahu merepek sampai ke pagi, Sufi? Jauh betul ulasan kau, ya. Sudah sampai ke bulan sana aku kira. Lekas masuk. Malam semakin dingin. Tidak elok anak dara duduk di luar rumah sekarang.”

Rani mula bangun dari duduknya. Cawan kopi dicapainya malas. Matanya masih memandang aku yang belum bersedia mahu bangun dari buaian kayu ini.

“Sufi… kau mahu aku jerit nama ibu? Nanti bukan cuma bulan yang muram malam ini tetapi juga Sufi Arini.” Rani guna taktik kasar. Hish, kalahlah kalau main nama ibu begini!

“Tetapi cerita bulan belum habis.”

“Cerita bulan tidak akan habis, Sufi. Yang penting kopi aku sudah habis.” Rani mula masuk ke rumah.

“Cerita kopi pun belum habis, Rani.” Aku menutur perlahan sambil bangun dari buaian. Sekilas aku merenung bulan sebelum masuk ke rumah dan aku terpegun…

Awan sudah pergi.


Besut, 7 Disember 2016 | © meremuna

Monday, 9 January 2017

"Let her shows her scares and wounds of life. And if you decide to go thru to be like her, gird up your loin." - Karen Pandora Butler


aku dah lama tak buka blog. aku dah lama tak menulis di ruang ni. lama tak lama, tapi cukup terasa lama bagi aku yang dah anggap blog ni macam diari. aku tak boleh. aku rasa aku tak boleh datang sini. antara sebabnya adalah entah aku tak tahulah. aku nak kata aku merajuk dengan blog - dah kenapa nak merajuk dengan benda tak hidup? tapi perasaannya begitu.

perasaannya sama macam kenapa aku tak boleh nak bercerita atau pandang lama-lama buku Sultan Abdul Hamid II. perasaannya sama macam kenapa aku tak boleh nak sembang tentang angan ke turki, uk atau perancis. perasaannya sama dengan sebab kenapa aku tak boleh datang sini.

sebab aku nampak aku. dan aku tak kenal aku. aku tak tahu mana nak cari aku. aku rasa aku bukan pandang aku. aku rasa aku bukan baca aku.

aku cuma nampak seorang perempuan yang sangat asing. wallahi. 

iyalah semalam godek blog, lepas tu terbaca semula tulisan-tulisan lama. dalam hati aku cuma mampu ucap, "siapa perempuan ni?". sebab aku tak kenal. wallahi, aku tak kenal. bukan nak hiperbola sighah mubalaghah ke apa tapi itulah apa yang dirasa.

aku perasan, cinta dan cita aku bukan hilang. tapi aku sorok di sudut hati paling dalam. aku tak boleh nak keluarkan sebab aku tak mampu nak kawal mahu dan rindu. kedudukan mereka terlalu jauh di dasar. kemas di situ sebab aku tahu aku belum capai mampu. 

tapi aku rindu.


if life is so easy.. if choice isn't so hard to make.. i would marry my own best friend even though he's super crazy.  I'm okay with crazy, by the way.

thanks, jak. you always there whenever I need you. hihi.


penting untuk adakan sesi kaunseling dengan orang yang kita rasa boleh bagi sesuatu yang membawa "comfort" pada hati kita. kadang-kadang cukup dengan, "it's okay, num. aku ada" is more than enough. Allah cukup untuk mendengar tapi dalam masa yang sama kita mahukan respon yang wujud depan mata secara zahir. apa guna hidup dengan manusia kalau tak boleh nak berkongsi apa-apa.

dan aku tahu tak ada orang pun yang boleh faham situasi aku melainkan dia pun sedang atau pernah hadap hal yang sama. aku tak cari orang untuk faham aku tapi cukup sekadar aku tahu dia ada untuk dengar dan tak lekehkan lembik aku. 

aku okay. aku okay dengan apa yang dah jadi. aku dah tenangkan diri aku. aku okay, sungguh. 

tapi aku rindu aku. 
itu saja.

i know i'm strong.
i know.

i wish.





as you look closer inside her heart you cannot but think and ponder 
on her life for she fight hard even if to lose her own
she stands as a stronger tower in her domain
many look up to her wanting to be like her but to get to where she's at today
let her shows her scares and wounds of life
and if you decide to go thru to be like her
gird up your loin. 



Sunday, 8 January 2017

Sufi #1 : Gadis di Hati Ibu


“Sepertinya ada awan mendung yang menutupi wajah cantik di hadapanku ini, kenapa ibu?” Aku mengambil tempat di sebelah ibu. Tangan aku perlahan menyapu pasir yang bertaburan sebelum melabuhkan duduk. Jeti ini semakin usang dimamah usia tetapi laut yang terbentang luas di hadapan tidak mematikan serinya.

“Tidak ada apa-apa, nak.” Ibu senyum memandangku tetapi suaranya sedikit perlahan. Aku tahu suara itu, lagi tahan sendu.

“Sufi bukan lagi anak kecil, ibu. Sudah mampu meneka permainan hati. Iya, walaupun tidak sehebat dan sepengelaman ibu. Ayuh, ceritakan saja. Bukan selalu Sufi dapat peluang pulang ke kampung untuk dengar hikayat ibu.” Aku kuis bahunya manja namun, hatiku begitu penasaran.

Ibu tersenyum lagi. Kali ini lebih ikhlas. Ibu melepaskan keluhan berat sebelum membuka suara.

“Bukan apa-apa yang penting, Sufi. Ibu cuma teringat akan seseorang.”

“Siapa ibu? Sufi kenal siapa dia?” Aku bertambah penasaran.

“Tidak. Dia bukan seseorang yang Sufi kenal. Ibu terkenangkan seorang gadis. Cantik sekali. Orangnya cerdas. Idea fikirannya selalu mengundang kagum orang banyak. Senyum dan tawanya menghiburkan hati sesiapa saja yang melihatnya. Dia bagaikan bintang yang bercahaya dengan begitu terang, sehingga hari siang pun malu kepadanya.”

Aku setia mendengar cerita ibu. Telefon bimbit siap aku setkan dalam mod senyap. Tidak mahu ada gangguan. Cerita ibu ini penting, aku tahu.

“Tetapi dia gadis yang gagap. Dia sempurna dalam segala hal kecuali kepetahan berbicara. Tidak kurang ada yang selalu mengejek dan membulinya. Tetapi dia itu lembut dan berhati baik, terima saja tanpa tahu atau tidak mahu melawan. Sampai masa dia jatuh cinta dengan seorang pemuda yang sangat mencintainya juga. Mereka bernikah. Kamu tahu, Sufi, perangainya persis Sufi bila dia lagi takut atau gementar. Dia tidak mampu bersuara apa-apa.” Ibu ketawa perlahan sambil mencubit pipiku.

“Tetapi Sufi lebih hebat kan, bu? Sufi terbisu sesaat saja. Setelah sesaat Sufi kembali…”

“Kembali jadi murai tercabut ekor?” Ibu memotong percakapanku diikuti senyuman meleret. Aku pura-pura merajuk.

“Dan sudah menjadi kebiasaan bila dia takut atau gementar ayahnya akan menepuk lembut bahunya. Sebagai tanda memberi sokongan dan kekuatan. Dan dia akan mampu bercakap setelah itu. Namun setelah bernikah, suaminya pula yang mengambil alih tugas ayahnya itu. Setia dia ada di belakang isterinya bila mana isterinya takut atau debarkan sesuatu.”

Tanpa sedar bibirku mengukir senyum. Manis dibayang. Tetapi ibu diam tidak menyambung cerita.

“Terus, bu?” Aku tidak mampu menyembunyikan rasa ingin tahu yang terlalu. Kenapa ibu permainkan perasaanku yang begitu penasaran saat ini?

“Mereka berpisah setelah itu.”

Aku bertakbir perlahan. Terkejut. Takdir sememangnya hal yang tidak dapat kita duga. Bertakbir mengenangkan betapa Allah itu akbar dalam menguruskan cerita hamba-Nya.

“Kerana apa mereka berpisah?” Aku cuba menahan getar dalam suara. Lama ibu merenung langit.

“Ibu tidak tahu, Sufi. Cuma yang ibu fikirkan, apakah saat itu tidak ada yang menepuk lembut bahunya?”

“Saat yang mana maksud ibu?” Aku sudah tidak mampu mengawal penasaran. Seperti mahu saja aku masuk ke dalam otak dan hati ibu biar aku sendiri baca ceritanya sampai habis!

“Gadis itu sudah tiada di dunia ini, Sufi. Dengan anaknya yang masih di dalam kandungan dan suaminya tidak tahu tentang anak itu.”

“Ya Allah..” Aku kehilangan kata-kata. Apakah?

“Mati itu pasti dan sudah ditentukan ajal kita bila dan di mana. Ibu bukan mahu mempersoalkan kerja Tuhan cumanya ibu terfikir, asbab kematian gadis itu… adakah kerana kebisuan yang membunuh?” Suara ibu makin perlahan.

“Bisu… kerana bahunya sudah tidak ada yang menepuk ketika dia lagi takut.” Giliran aku merenung langit. Padahal mahu menampung airmata yang mula bertakung berlumba mahu jatuh ke laut.

Jeda. Cuma lagu ombak yang berbunyi meneman sunyi.

“Tetapi sebenarnya dia ini siapa, ibu? Kenalan ibu?” Aku bertanya lagi.

Ibu kemudiannya tersenyum kemudian ketawa. Kenapa dengan ibu? Sungguh aku tidak mengerti wanita di hadapanku ini.

“Itulah… ibu ajak Sufi tonton cerita dengan ibu, Sufi tolak.” Ibu ketawa lagi.

“Ibu… jangan cakap yang semua cerita tadi cuma…” Aku mula merenung ibu geram. Ibu!

“Ya… cerita hindustan. Thapki Pyaar Ki. Esok kita tengok sama-sama, ya. Esok episod menarik sebab Sankar jahat kurung Thapki dalam balang pasir.” Ibu bertutur selamba sambil bangun dari duduknya. Aku kebingungan.

“Ibu… apa yang ibu lakukan ke Sufi ini jahat.” Aku mula mengulang ayat Cinta dalam Ada Apa Dengan Cinta.

“Maafkan saya, Cinta. Tetapi Cinta harusnya tahu di sebalik jahatnya perbuatan saya ini, ada pengajaran yang perlu Cinta belajar.” Kata ibu lalu dia teruskan perjalanan pulang ke rumah.

Jeda. Sekali lagi ombak meneman sunyi. Kali ini disertai dengan bunyi tapak kaki ibu.

Aku senyum memandang wanita cantik di hadapanku ini. Airmata kubiar jatuh bebas ke laut. Aduhai, ibu… nakal tetapi geliga. Ayah, ayah sangat beruntung.

Eh, Sufi juga!



Besut, 6 Disember 2016 | © meremuna