Sultan Muhammad al-Fatih : Faktor Kejayaannya dalam Menawan Konstantinopel
By Ainum Lathifah - July 11, 2018
sumber imej |
PENDAHULUAN
Umat Islam dihamparkan dengan pasang surut sejarah dan liku-liku peradaban yang panjang. Ada zaman keemasan yang menyerlahkan keajaiban aksi beberapa watak dan ada zaman kegelapan yang dipenuhi drama berkabung yang panjang. Kesemua fasa sejarah berlalu dengan benang merah yang menghubungkan fasa-fasa yang berpisah-pisah itu. Benang yang dimaksudkan adalah apabila umat Islam bersenyawa dengan Islam, kemajuan dan kekuasaan ke atas dunia diraih. Ini dibuktikan dengan dua pertiga dunia di tapak kaki Kerajaan Islam Uthmaniyyah.[1]
Apabila umat Islam tergelincir daripada orbit Islam, kehinaan yang menakutkan ditimpakan ke atas mereka. Ini persis apa yang diperlakukan 200,000 tentera ganas Hulagu Khan ke atas 800,000 nyawa umat Islam dan khalifah terakhir Abbasiyyah, Al-Muktasim Billah. Khalifah, para pembesar Baghdad serta umat Islam dibunuh dan mayat mereka dicampakkan ke dalam Sungai Tigris. Bangunan-bangunan yang menjadi saksi ketamadunan Islam yang mempelopori ilmu sains dirobohkan. Hulagu Khan memusnahkan Baghdad dengan slogan datuknya, “Perkara yang nikmat dalam hidup kita adalah mengalahkan musuh, memancung leher mereka, merampas barang-barang berharga milik mereka dan mendengar tangisan orang yang mencintai mereka.”[2]
Baitul Hikmah, universiti yang menjadi nadi perkembangan tamadun dunia pada zaman itu turut dimusnahkan. Sungai Tigris menjadi saksi terpadamnya khazanah ilmu Islam yang dihumban ke dalamnya. Airnya menjadi lautan tinta yang hitam pekat. Direkodkan Sungai Tigris menjadi hitam selama enam bulan kerana dakwat daripada buku-buku yang dihumbankan ke dalam sungai. Keruntuhan Baghdad berulang sekali lagi pada 12 April 2003 di tangan tentera Amerika Syarikat. Pengulangan skrip yang sama berpunca daripada kelemahan umat Islam yang berpecah belah.[3]
Bangsa Arab dahulunya bangsa yang selama beberapa abad tidak dikenali mana-mana bangsa besar dunia. Berkat ketaatan kepada Islam, mereka menjadi bangsa yang digeruni dan dihormati dunia. Namun demikian, apabila bangsa Arab mula terlena dengan muzik, tari-menari dan pertunjukan tengah malam, Allah akhirnya menyerahkan panji kepimpinan dunia kepada bangsa Kurdish dengan tokoh besarnya Nuruddin Zinki dan Salahuddin Al-Ayyubi.[4]
Apabila bangsa Kurdish berpaling daripada Islam, Allah menyerahkan tampuk kepimpinan Islam kepada bangsa Saljuk dengan tokohnya Alp Arslan (1029 sehingga 1072 Masihi) yang memalukan 200,000 tentera Byzantine dengan hanya 20,000 tenteranya. Bangsa Saljuk kemudian menyerahkan kepimpinan kepada Uthmaniyyah dan pemimpin besarnya seperti Muhammad Al-Fateh dan Sulaiman Al-Qanuni, yang kekuasaannya pada masa itu mencengkam kuat di daratan Eropah. Professor Halil Inalchi menyebutkan sejak dari 1520 sehingga 1596 Masihi, Uthmaniyyah tidak terbabit dan campur tangan dalam semua isu-isu politik antarabangsa bawah pemerintahan Sulaiman yang Agung (1520 sehingga 1566).[5]
Uthmaniyyah bertahan hampir enam abad lamanya memayungi dunia sehingga ditakuti negara-negara Eropah yang kini memerintah dunia.[6] Sekiranya sejarah perjalanan khilafah Uthmaniyyah ditapaki, maka yang akan didapatkan adalah mereka membangunkan pemerintahan itu dengan bangunan keimanan yang kukuh kepada Allah. Mereka membangunkan dengan semangat Islam yang menyala-nyala. Mereka membangunkan negara itu dengan darah dan air mata, dengan jihad harta dan jiwa. Khilafah Uthmaniyyah dibangunkan di atas semangat untuk menegakkan syariah, semangat untuk menegakkan kalimah Allah dan menghancurkan angkara murka.[7]
Para khalifah Uthmaniyyah membangunkan khilafah mereka dengan kerja keras dan keringat serta keberanian. Mereka membangunkan tiang-tiang negara dengan kondisi iman yang kukuh dan dengan asas yang sedemikian rapi iaitu asas keimanan dan keislaman yang tegar yang kemudian membuahkan ihsan. Maka tidak hairan dengan berkat semangat juang yang tinggi, pemikiran yang cerdas, dan keinginan yang kuat, Konstantinopel yang merupakan kota idaman setiap bangsa dunia saat itu bertekuk tulut di bawah tapak kaki Sultan Muhammad Al-Fatih pada tanggal 29 Mei 1453. Kejatuhan Konstantinopel ini menurut Abul Hasan Ali Al-Hasani An-Nadwi dalam bukunya Madza Khasira Al-‘Alam bi Inhithath Al-Muslimin telah membangkitkan semangat kaum muslimin. Kaum muslimin dunia menaruh harapan kepada bangsa Turki untuk mengembalikan kejayaan dan kewibawaan Islam di mata dunia. Keberhasilan Khilafah Uthmaniyyah dalam menakluki kota Konstantinopel ini menunjukkan akan betapa kuatnya pemerintahan Islam pada saat itu di mana sebelumnya usaha-usaha untuk menakluk kota tersebut selalu mengalami kegagalan.[8]
sumber imej |
KONSTANTINOPEL : FAKTOR STRATEGIK DAN FAKTOR KEKEBALANNYA
Konstantinopel Sepintas Lalu
Terdapat sebuah kota yang sangat penting dan mendapat perhatian seluruh mata dunia ekoran daripada kedudukan geografinya yang strategik dan keindahan kotanya sendiri. Kota tersebut adalah Istanbul ataupun pernah dikenali sebagai Konstantinopel pada era Byzantin.[9] Nama Konstantinopel diambil sempena nama pengasasnya iaitu Maharaja Byzantin, Constantine I. Kota ini dibina pada 330 Masihi dan berfungsi sebagai ibu negara dan pusat empayar Byzantin, iaitu Rom Timur selama lebih 10 abad lamanya.[10]
Kedudukan Konstantinopel ini telah meletakkannya pada kedudukan yang istimewa apabila umat Islam memulakan agenda pertembungan mereka dengan empayar Byzantin.[11] Ketika kaum muslimin berjihad melawan Byzantin, Konstantinopel memiliki aspek strategi khusus dalam pertarungan pada waktu itu. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW telah memberikan khabar gembira beberapa kali dalam sabda baginda bahawa kota ini pasti akan ditakluk. Maka, kaum muslimin berebut-rebut untuk menakluk kota Konstantinople. Kota tersebut sangat diidamkan semenjak zaman pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufyan pada tahun 44 namun, serangan itu tidak berhasil. Begitu juga seterusnya dengan pemerintah lain yang cuba untuk menakluk kota itu namun menemui kegagalan yang sama.[12]
Dalam lebih kurang 1,100 tahun kewujudan Empayar Byzantin, Konstantinopel diserang hampir 29 kali percubaan. Namun Konstantinopel hanya dapat ditawan sekali sahaja ketika Perang Salib Keempat pada tahun 1204 Masihi. Kejatuhan Konstantinopel ke tangan Kerajaan Uthmaniyyah berlaku pada hari Selasa, 29 Mei 1453. Kejadian ini menandakan berakhirnya Empayar Byzantin yang ketika itu kian mengecil akibat berpecah kepada beberapa kerajaan monarki Rom. Wikipedia melaporkan, kejatuhan Konstantinopel mempercepatkan penghijrahan sarjana-sarjana Greek yang membawa bersama ilmu pengetahuan mereka ke Eropah. Ini menyemarakkan lagi kebangkitan Renaissance di sana. Selain itu, kejadian ini memainkan peranan penting dalam menstabilkan keadaan politik Kerajaan Uthmaniyyah dan peluasan kerajaan ini ke Mediterranean Timur dan Balkan. Tarikh 29 Mei 1453 Masihi ini adalah tarikh yang dicadangkan bagi menunjukkan berakhirnya zaman pertengahan.[13]
Kehilangan Konstantinopel memberi tamparan hebat kepada Kerajaan Kristian Barat. Penguasaan Konstantinopel membuatkan bangsa Turki mengukuhkan kedudukan mereka di Eropah serta meluaskan wilayah penguasaan mereka ke Balkan dan Mediterranean. Ini adalah pencapaian berprestij dalam sejarah perkembangan dakwah Islam.[14]
Faktor Strategiknya Konstantinopel
Konstantinopel dikenali sebagai kota yang termakmur dan terkaya di Eropah sejak beberapa abad. Konstantinopel terletak di pertemuan antara dua benua iaitu Eropah dan Asia serta penemuan antara Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Kedudukannya strategik sama ada daripada perdagangan mahupun geo-politik. Konstantinopel terbahagi kepada 14 zon, 12 daripadanya berada dalam tembok kota dan selebihnya di luar. Galata pula adalah zon ke-13 dan ia diambil alih oleh orang Genoa sebelum kedatangan Sultan Muhammad Al-Fatih.[15]
Napoleon Bonaparte menyebut hakikat Konstantinopel, “Apabila dunia ini adalah sebuah negara, Konstantinopel adalah yang paling layak menjadi ibu negaranya.” Zorzi Dolfin pula menyifatkan tanggapan Sultan Muhammad kepada Konstantinopel dengan kenyataannya, “Muhammad Al-Fatih memahami kepentingan Istanbul. Beliau percaya dengan menjejakkan kaki ke Istanbul, beliau mampu memerintah seluruh dunia.”[16]
Faktor Kekebalan Konstantinopel
Faktor Pertama :
Konstantinopel adalah kota daripada tujuh bukit. Ini kerana, ia mendapat perlindungan semulajadi daripada kedudukannya di celahan tujuh buah bukit yang menjadi bentuk muka buminya.[17]
Faktor Kedua :
Kota ini berbentuk segitiga. Dua bahagian kota menghadap laut, iaitu Selat Bosphorus dan Laut Marmara. Ini bererti, dua pertiga sempadan kota ini adalah laut. Sekali lagi ini adalah perlindungan semulajadi yang menjadi kelebihan Konstantinopel. Justeru, sebarang usaha penawanan tanpa armada laut yang kuat adalah mustahil.[18]
Faktor Ketiga :
Bahagian luar kota dilingkungi parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meter.[19]
Faktor Keempat :
Kekebalan banteng Konstantinopel itu sendiri. Bahagian daratan dilengkapi beberapa benteng yang kukuh. Terdapat dua tembok iaitu tembok luar yang setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter dan tembok dalam yang setinggi 40 kaki dan setebal 15 meter.[20]
Faktor Kelima :
Di bahagian laut terdapat rintangan rantai besi dengan hampir 25 buah kapal Byzantin menjaga keselamatannya. Dikatakan ada tiga lingkaran kesemuanya dengan hampir 300 sehingga 400 mata rantai sebesar pemeluk setiap satunya. Rintangan rantai besi adalah teknologi terbaru Konstantinopel yang diletakkan di Selat Bosphorus bagi menghalang kapal-kapal musuh untuk masuk ke kota itu.[21]
sumber imej |
SULTAN MUHAMMAD AL-FATIH
Sultan Mehmed II atau dikenali sebagai Sultan Muhammad Al-Fatih telah dilahirkan pada 19 April 1429. Ada juga pendapat yang menyatakan pada 29 Mac 1432 di Edirne. Beliau merupakan putera kepada Sultan Murad II. Manakala ibunya bernama Huma Hatun. Beliau merupakan seorang yang berbadan tegap, tinggi, dan sasa. Beliau merupakan sultan Uthmaniyyah yang ketujuh dalam salasilah keturunan Uthman. Sultan Muhammad II memerintah selama tiga puluh tahun yang diwarnai dengan kebaikan dan kemuliaan bagi kaum muslimin. Beliau memangku kesultanan Uthmaniyyah setelah ayahnya wafat pada tanggal 16 Muharram 855 Hijrah bertepatan dengan tanggal 18 Februari 1451 Masihi. Pada waktu itu umurnya baru menjelang 22 tahun. Sultan Muhammad II sendiri memiliki keperibadian yang mantap iaitu satu peribadi yang menggabungkan antara kekuatan dan keadilan.[22]
Apabila Sultan Muhammad II telah sampai waktu untuk bersekolah, bapanya, Sultan Murad II memilih beberapa orang tutor yang sampai ke Edirne pada waktu itu untuk mengajar anaknya. Sewaktu pemerintahan Sultan Murad II, beberapa ulama daripada dunia Islam seperti At-Taftazani, seorang ulama yang belajar di bawah Al-Sayyid Al-Sharif Al-Jurjani, datang ke dari timur dan menetap di Bursa dan Edirne. Antara ulama yang lain adalah Alauddin Al-Tusi Al Qarimi dan beberapa ulama yang datang dari Barat telah dibawa Sultan Murad II ke Edirne untuk mengajar anaknya pelbagai bidang ilmu. Sultan Murad II meletakkan sepenuh kepercayaan kepada ulama-ulama untuk menguruskan pembelajaran anaknya, Muhammad II. Antara yang paling dipercayai adalah Sheikh Ahmad Ibn Ismail Al-Korani. Sheikh Ibn At-Tamgeed, seorang yang soleh yang menulis syair Arab dan Parsi juga antara guru beliau. Di samping itu, Khairuddin dan Sirajuddin Al-Halabi juga merupakan tutor beliau.[23]
Sultan Murad II memastikan Sultan Muhammad II menghafaz al-Quran sebelum beliau berusia lapan tahun. Selain itu, Sultan Muhammad II diajar tentang sejarah dan juga ilmu sains. Sultan Muhammad II sangat menyintai tanah airnya dan sering menjadi pemimpin angkatan tenteranya. Beliau juga amat meminati bidang kesusasteraan, kesenian, kejuruteraan dan pembinaan. Selain itu, sains dan falsafah adalah di antara bidang ilmu yang turut digemari oleh beliau. Malah beliau telah menjemput salah seorang ahli astronomi terkenal di Turki ketika itu yang bernama Ali Kuscu untuk bertugas di makmal kaji bintang yang berpusat di Istanbul. Sultan Muhammad II adalah seorang yang sangat pintar dan mampu bertutur menggunakan tujuh bahasa asing dengan begitu fasih iaitu Turki, Greek, Yahudi, Arab, Parsi, dan Latin ketika berusia masih muda sewaktu beliau menawan Konstantinopel. Selepas kejatuhan Kota Konstantinopel, beliau telah membangunkan banyak universiti dan kolej di bandar tersebut. Sebahagian daripadanya masih lagi aktif sehingga kini.[24]
Sultan Muhammad II menyedari bahawa beliau diberi ilmu yang sangat hebat lalu beliau termotivasi untuk meneruskan impian yang telah ditanam oleh ayahnya untuk menakluk Konstantinopel. Setiap hari Sultan Murad II berdoa supaya kota itu ditakluk dan penakluknya adalah anaknya sendiri. Pada setiap hari juga beliau mengarahkan Sultan Muhammad II supaya membuat persiapan untuk menawan Konstantinopel. Sultan Muhammad telah menaiki takhta sebenar setelah kemangkatan ayahandanya pada usia 20 tahun. Beliau telah digelar “Si Penakluk” atau di dalam Bahasa Arab lebih dikenali sebagai “Al-Fatih” selepas penaklukan benteng Kota Istanbul pada 29 Mei 1453.[25]
Sultan Muhammad II telah mangkat pada 3 Mei 1481 akibat diracun oleh seorang doktor peribadinya di Kota Hunkarcayiri berdekatan Gebze dan beliau telah dikebumikan di pemakaman Fatih Turbesi berdekatan Masjid Fatih di Kota Istanbul.[26]
sumber imej |
SULTAN MUHAMMAD AL-FATIH : FAKTOR KEJAYAANNYA DALAM MENAKLUKI KONSTANTINOPEL
Menurut riwayat, ketika berlaku peperangan Khandaq, umat Islam telah dikepung dari pelbagai penjuru oleh kaum musyrikin dan Yahudi. Kaum muslimin bekerjasama menggali parit untuk menghalang serangan dalam peperangan tersebut termasuklah baginda Rasulullah sendiri. Ketika mereka sedang melakukan pekerjaan tersebut, pencungkil (cangkul) Rasulullah SAW telah terkena seketul batu lalu secara tiba-tiba keluar percikan api disebabkan berlaga di antara batu dan besi pencungkil tersebut. Rasulullah SAW secara spontan telah bertakbir sebanyak tiga kali berturut-turut sehingga Sahabat bertanya kepada baginda, “Apakah yang telah berlaku wahai Rasulullah ?” Jawab baginda, “Aku telah melihat beberapa percikan api. Percikan pertama aku melihat bayangan di udara Istana Putih di negeri Yaman. Percikan kedua aku melihat bayangan Istana Kisra di Tanah Parsi dan percikan ketiga aku melihat mahligai raja-raja di Konstantinopel.”[27]
Peristiwa ini menunjukkan isyarat seolah-olah umat Islam akan menguasai ketiga-tiga kawasan strategik yang menjadi sumber keagungan tamadun manusia pada zaman tersebut. Terdapat juga sebuah hadis lain secara spesifik yang menjelaskan tentang kepastian umat Islam yang akan menakluki kota terpenting Konstantinopel sebagaimana yang tersebut di atas.[28] Maka, para khalifah kaum muslimin berlumba-lumba untuk menakluki kota itu dalam tempoh waktu yang panjang dengan harapan mereka dapat merealisasikan hadis Rasulullah SAW iaitu ;
[29] لَتُفْتَحَنّ القسطنطينية على يد رجل فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش.
“Konstantinopel akan jatuh di tangan orang Islam. Sebaik-baik raja adalah raja yang menakluknya. Sebaik-baik tentera adalah tentera yang menakluknya.”
Kemenangan besar ini sesungguhnya tidak datang dengan begitu sahaja. Pencapaian ini adalah satu pencapaian yang luar biasa. Setelah berkali-kali cubaan dilakukan oleh pelbagai bangsa, Sultan Muhammad II dari bangsa Turki yang berjaya menjatuhkan Konstantinopel dan membenarkan hadis Rasulullah SAW setelah 600 tahun berlalu. Hal ini demikian kerana terdapat beberapa faktor yang membantu mereka untuk menjadi orang yang disebut Rasulullah sebagai sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera.[30]
Peranan Seorang Ayah
Peranan seorang ayah sangat penting dalam membina personaliti yang kuat dalam diri seorang anak. Sultan Murad II, bapa kepada Sultan Muhammad, adalah seorang yang sangat proaktif. Beliau memberikan perhatian yang sangat serius terhadap pendidikan anaknya. Bukan hanya untuk pendidikan akademik namun, pendidikan sikap turut diambil berat. Buktinya, sebagai contoh sewaktu beliau mahu anaknya yang masih kecil untuk punya visi menawan Konstantinopel, beliau terlebih dahulu melakukannya. Hal ini demikian kerana, tidak wajar bagi beliau untuk menyuruh anaknya melaksanakan impiannya sedangkan beliau sendiri tidak bersungguh-sungguh dan tidak berbuat sedemikian.[31]
Walaupun beliau ditakdirkan gagal dalam percubaannya dalam menawan Konstantinopel namun, beliau merasakan wajar untuk anaknya menyambung perjuangan tersebut kerana beliau telah membuatnya terlebih dahulu dan anaknya tidak akan mampu untuk mencipta alasan untuk tidak melaksanakannya.[32]
Selain itu, Sultan Murad II tidak mula mendidik Sultan Muhammad dengan pengetahuan mahupun hafalan al-Quran namun, beliau mengajar anaknya tentang adab terlebih dahulu.[33] Sultan Murad II meminta seorang guru yang terkenal dengan ilmu dan ketegasannya, Sheikh Ahmad Ibn Ismail Al-Korani untuk mengajar anaknya.[34]
Peranan Seorang Guru
Sultan Muhammad II pada sewaktu kecilnya sangat nakal. Jadi, beliau perlu kepada satu pendidikan yang tegas. Tindakan Sultan Murad II memilih Sheikh Al-Korani sebagai gurunya adalah yang terbaik. Ayahnya telah mengirim sejumlah pengajar, namun anaknya terlalu nakal dan tidak mentaati perintah guru bahkan tidak mampu membaca apa pun sehingga tidak mampu mengkhatamkan al-Quran.[35]
Pendekatan yang digunakan oleh Sultan Murad II adalah dengan rotan. Beliau memberikannya kepada Sheikh Al-Korani dan memberinya mandat untuk merotan Sultan Muhammad II. Setelah dirotan barulah Sultan Muhammad berubah sikap. Hal ini sejarawan sebut secara sepakat sama ada Barat atau Islam bahawa dengan rotan inilah Sultan Muhammad mula membuka minda.[36]
Kesan rotan ini sangat besar kerana dengan hal itulah Sultan Muhammad mula menghormati ulama. Apabila beliau menghormati ulama dan ilmu, barulah beliau dapat fokus dengan apa yang beliau ingin belajar. Buktinya, dari awal sehingga akhir proses penawanan Konstantinopel, beliau tidak merujuk pada sembarangan orang tetapi kepada ulama.[37] Sultan Muhammad II turut mengatakan bahawa kejayaan menjatuhkan Konstantinopel adalah kerana gurunya, Sheikh Aaq Shamsuddin yang mengisi keinginan penuh ke dalam diri beliau untuk menjadi sebaik-baik raja. Sheikh Aaq Shamsuddin mempunyai nasab yang bersambung dengan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a.[38] Penghormatan yang tinggi telah diberikan Sultan Muhammad II kepada gurunya itu kerana dengan adanya kehadiran beliau bersamanya, mereka mampu untuk menawan kota idaman itu.
Pengaruh Penerapan Syariat Islam Terhadap Pemerintahan Uthmaniyyah Pada Zaman Sultan Muhammad Al-Fatih
Sejarah mendapati orang-orang Utsmani sejak pemerintahannya yang pertama iaitu Uthman sehingga Muhammad Al-Fatih dan orang-orang setelahnya selalu berusaha untuk menegakkan syiar Islam atas diri, keluarga dan Negara mereka. Mereka berhukum dengan hukum Allah. Maka dengan itu Allah mengukuhkan dan menguatkan penguasa-penguasanya. Sultan Muhammad II dididik dengan sempurna dalam hal ehwal agama. Beliau tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat tahajjud dan solat rawatib semenjak baligh. Melihatkan bagaimana penerapan ajaran Islam ke dalam diri Sultan Muhammad, boleh diklasifikasikan bahawa Kerajaan Uthmaniyyah pada waktu itu mantap dan kukuh kerana Islam menjadi junjungan.[39]
Karakteristik Penting Sultan Muhammad Al-Fatih
Keteguhan Hati :
Hal ini adalah jelas ketika tercetus dalam pemikirannya satu pendapat yang kuat tentang akan adanya perkara yang tidak selesai atau kemalasan armada laut Uthmani Balta Oghali saat mengepung kota Konstantinopel. Sultan Muhammad segera mengirim utusan dan mengatakan, “Hanya ada dua pilihan di hadapan anda. Anda mampu menguasai kapal-kapal ini atau anda tenggelamkannya. Jika salah satu di antara dua hal ini tidak mampu anda lakukan, janganlah anda pulang kepada kami dalam keadaan anda hidup.” Oleh sebab itu, tatkala Batli Oghali tidak mampu melaksanakan apa yang menjadi keinginannya, segera beliau memecatnya dan menggantikan dengan Hamzah Pasha.[40]
Keberanian :
Sultan Muhammad mempunyai keberanian. Sifat ini ditunjukkan apabila beliau sendiri terjun ke medan laga dan berperang melawan musuh dengan pedangnya sendiri.[41]
Kecerdasan :
Selain itu, beliau juga berkarakter cerdas. Kecerdasan ini jelas terlihat dari pemikirannya yang cemerlang dalam memindahkan kapal-kapal dari pengkalannya di Basykatasy ke Tanduk Emas (Golden Horn) yang beliau lakukan dengan cara menariknya melalui jalan darat yang ada di antara dua pelabuhan.[42]
Kemahuan yang Teguh dan Gigih :
Kemahuan yang teguh dan gigih juga merupakan karakteristik kepemimpinan yang penting dalam perjalanan menawan Konstantinopel. Tatkala Sultan Muhammad mengirim utusan kepada Maharaja Constantine dan memintanya untuk menyerahkan kota mereka tanpa perlu berperang dengan jaminan mereka tidak akan mengganggu puak Kristian. Namun, permintaan beliau ditolak dan beliau berkata, “Baiklah, dalam jangka waktu terdekat akan ada singgahsana untuk aku di Konstantinopel atau akan ada perkuburan baginya.” Sikap yang jelas kelihatan apabila pasukan Byzantin berhasil membakar benteng bergerak yang diperbuat daripada kayu, jawapan Sultan Muhammad adalah, “Esok kami akan membina empat lagi sebagai gantinya.” Sikap ini menunjukkan kemahuannya yang dahsyat dan kegigihannya dalam mencapai apa yang menjadi targetnya.[43]
Ilmu Sains dan Teknologi Hebat Uthmaniyyah
1) Meriam Urban
Sultan Muhammad Al-Fatih memulakan angkatan bersenjata tersusun pertama di dunia dengan keupayaan memilik berdozen peledak bom dan meriam Urban iaitu meriam gergasi yang mampu merobek dinding batu kota-kota hebat. Begitu diceritakan keampuhan meriam itu yang dilengkapi dengan peluru seberat 1400 paun. Giustiani tidak memiliki persenjataan sehebat Sultan Muhammad II, tetapi berlindung dengan meriam kecil, busur panah dan pelbagai senjata yang kecil tetapi pantas. Sultan Muhammad mengarahkan supaya dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang mampu menembak bom 300 kilogram sejauh satu batu.[44] Peristiwa penciptaan Meriam Urban menyerlahkan karakter kepemimpinan Sultan Muhammad II yang strategis. Beliau peka dengan maklumat yang tepat dan fakta yang sahih tentang kepakaran mencipta senjata ada pada Hungary. Hampir 100 tahun mereka memusuhi Uthmaniyyah. Pakar utama tersebut adalah Urban dan beliau dipenjarakan oleh Maharaja Constantine. Lalu beliau merisik dan masuk sendiri ke dalam kota Konstantinopel untuk mengenal pasti ketebalan dinding bagi mencipta meriam yang sepadan dan juga untuk mengenal pasti kedudukan penjara saintis Urban.[45]
2) Menara Bergerak dan Manjanik
Sultan Muhammad II mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantin dan memuatkan ratusan tentera. Byzantin berjaya membakar menara ini pada waktu malamnya. Uthmaniyyah juga menggunakan teknik memanjat dinding dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Byzantin mencurahkan minyak hitam panas dari atas benteng mereka. Tentangan sengit menyebabkan ramai yang syahid. Sultan Muhammad memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan seperti biasa.[46]
3) Rumeli Hisari
Pada sebelah bahagian benua Eropah, terdapat satu laluan Selat Bosphorus yang agak sempit iaitu sekitar lima batu jarak keluasannya dari tembok kota tersebut. Sultan Muhammad II telah membina sebuah benteng pertahanan yang dikenali sebagai Kota Rumeli (Rumeli Hisari) berhadapan dengan kota pertahanan yang menjadi penempatan Sultan Beyazid Yildrim di bahagian benua Asia sewaktu beliau mengepung Kota Konstantinopel buat pertama kali. Kota tersebut mempunyai peranan yang amat besar dalam usaha mengawal lalu lintas di selat tersebut.[47]
Ketangkasan Menyusun Strategi dan Pelan Bertindak yang Sistematik
Kewujudan rantai gergasi sebesar pemeluk telah menghalang Sultan Muhammad dan tenteranya untuk memasuki perairan Tanduk Emas (Golden Horn). Maka, beliau merencana dengan pantas tentang bagaimana mereka boleh menerobos masuk ke sana.[48]
Misi pertama adalah dengan mengembom penjaga rantai besi gergasi dengan meriam ciptaan Urban. Misi pertama ini gagal kerana penjaga rantai berada di dalam bukit batu yang tidak mampu diletupkan meriam Sultan Muhammad. Misi kedua diteruskan dengan memutuskan rantai besi dengan teknologi kedua Urban iaitu gergaji. Misi ini juga gagal kerana kedudukan rantai besi berada jauh di dalam air. Seramai 30 orang tentera Uthmaniyyah mati syahid berkubur di dalam lautan. Mereka terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Rom yang berjaya mengesan kehadiran mereka dengan loceng pada rantai besi. Hal ini berlaku apabila usaha tentera Islam menaikkan rantai itu ke darat.[49]
Idea pasukan brainstorm Sultan Muhammad semakin dahsyat. Misi ketiga mereka adalah dengan melakukan rempuhan agresif ke atas rantaian gergasi itu dengan tiga buah kapal sekaligus. Kapal dilengkapkan dengan kayu penebat yang tebal dan tampalan besi yang kukuh kerana rantai gergasi diikat dengan ranjau besi. Justeru, apabila dilanggar tanpa penebat dan besi yang kuat, kapal mampu musnah ataupun bocor. Misi ketiga juga gagal. Kapal-kapal Sultan Muhammad pimpinan Palta Oglu dirempuh dan diserang puluhan kapal perang Rom yang dihantar Pope Urbanus.[50]
Apabila pelan A tadi mengalami jalan buntu, pelan B iaitu keluar dari jalan laut mesti difikirkan. Kajian geografi mengenai kawasan bukit-bakau dari Selat Bosphorus ke Tanduk Emas dimanfaatkan. Kekuatan tentera, tenaga haiwan dan jumlah serta berat kapal dihitung secara matematik dengan tepat oleh Sultan Muhammad. Beliau mencipta satu pelan yang luar biasa bagi mengatasi halangan ini. Ia antara rekod yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan pemimpin. Sebanyak 70 buah kapal laut Uthmaniyyah diluncurkan dari daratan sejauh lima kilometer dari Selat Bosphorus masuk ke perairan Tanduk Emas. Batang-batang kayu diatur menjadi jalan. Minyak dan lemak haiwan digunakan untuk melancarkan perjalanan mengheret kapal-kapal atas daratan. Pada masa yang ditetapkan, kapal-kapal tersebut dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Konstantinopel sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang terpasang. Hal ini sangat memeranjatkan musuh kerana mereka dikejutkan dengan gema takbir para tentera Uthmaniyyah menggegarkan bumi Byzantin. Serangan psikologi dilancarkan kepada musuh. Ini adalah taktik peperangan yang tidak pernah digunakan oleh sesiapa. Para sejarawan Barat mengakui bahawa taktik ini adalah taktik peperangan yang terbaik yang pernah dilakukan.[51]
Penghayatan Semangat Jihad Dalam Jiwa Pemimpin dan Tenteranya
Sultan Muhammad memberikan semangat dan kata-kata jihad yang terakhir sebelum memulakan serangan besar-besaran. Beliau memberikan dalil-dalil al-Quran dan juga memotivasikan tenteranya untuk menjadi sebaik-baik tentera seperti yang disabda Nabi Muhammad SAW.[52]
Pada 29 Mei 1453, Sultan Muhammad mengarahkan tenteranya untuk membuat serangan terakhir ke atas Konstantinopel. Kepungan dilakukan dari daratan dan juga lautan diiringi dengan paluan gendang dan gemaan takbir tanpa henti. Serangan pertama dilakukan pada waktu subuh dan mereka berjaya pecah masuk ke dalam kota. Hasan Ulubate, ketua komandon Uthmaniyyah berjaya memacakkan bendera Uthamaniyyah di atas tembok tertinggi. Tindakan itu sangat heroic kerana sewaktu beliau memacakkan bendera itu, puluhan busur panah menusuk tubuhnya. Maka, beliau syahid pada ketika itu juga. Walaupun Hasan Ulubate terbunuh namun, bendera Uthmaniyyah tetap kekal berkibar di tembok itu dan sekaligus melemahkan semangat tentera musuh. Tentera Uthmaniyyah berhasil untuk masuk ke Konstantinopel dan meraih kemenangan.[53]
KESIMPULAN
Para ahli sejarah telah mengistilah dan menjadikan tarikh pembukaan bandar Konstantinopel pada 29 Mei 1453 Masihi sebagai permulaan kepada sejarah moden. Ketika memasuki bandar tersebut, Sultan Muhammad al-Fatih telah mengisytiharkan bahawa dunia kuno telah terhapus dan dunia moden telah datang. Bentuk peradaban telah berubah dengan sebab pembukaan Islam itu. Sultan Muhammad telah membuat satu upacara khas besar-besaran dan meminta pihak gereja berhimpun dan memilih seorang ketua paderi bagi mereka lalu, mereka telah memilih Janadius yang berkata bahawa dia lebih suka untuk melihat serban sultan daripada melihat topi latin. Orang yang dimaksudkan adalah pihak Katholik kerana merekalah yang menindas pihak Orthodoks.[54]
Sultan Muhammad hanya manusia biasa yang tidak perlu dipuja secara berlebihan. Kekalahan beliau di Belgrade adalah bukti sifat kemanusiaannya seperti orang lain. Perkara yang seharusnya dikaji adalah sebab Sultan Muhammad menjadi manusia yang dipilih Allah untuk merealisasikan kata-kata Rasulullah. Demikian perjalanan sejarah. Jatuh dan bangun adalah kemestian. Persoalannya adalah berapa lama ia mampu bertahan dan berapa lama perlu diambil untuk bangkit semula selepas kejatuhan.[55]
Benar kata Ibnu Khaldun dalam kitabnya, Muqaddimah, “Betapa melalui sejarah, kita dapat belajar perihal sunnatullah. Melalui pengamatan pada sunnatullah ini, sejarah beroleh nilai. Dengan nilai itu, ia menghubungjalinkan sejarah dengan zaman-zaman yang menyusul. Dalam erti kata lain, walaupun generasi dan zaman silih berganti, manusia dan sekalian alam tetap tersusun atur mengikut ketetapan Allah yang sama. Beruntung mereka yang meneladani sunnah yang baik. Namun mereka yang memilih mengulangi sejarah yang hitam pasti binasa.”[56]
RUJUKAN
1) Ab. Hamid Ali. 2011. Detik-detik Constantinople dan Ibrah Buat Eropah. Kuala Lumpur : Mazni Irfan Publication.
2) Abdul Latip Talib. 2008. Sultan Muhammad Al-Fateh. Selangor : PTS Litera Utama Sdn.Bhd.
3) Dr. Ali Muhammad Ash-Shalabi. 2003. Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Utsmaniyah. Jakarta Timur : Pustaka Al-Kautsar.
4) Dr. Eeman Mohamed Abbas. 2002. Sultan ‘Abd Hamid II dan Kejatuhan Khilafah Islamiah. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn. Bhd.
5) Mohd Fikri Che Hussain. 2010. Era Kebangkitan Kerajaan Uthmaniyah : Episod Silam Yang Dilupakan. Petaling Jaya : Hijjaz Records Publishing.
6) Muhammad Syaari Abdul Rahman. 2011. Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh. Selangor : PTS Milennia Sdn. Bhd.
7) www.youtube.com/watch?v=EtSzaozgH2Q
8) www.youtube.com/watch?v=6TSQvqMvIOU
NOTA KAKI
[1] Muhammad Syaari Abdul Rahman. 2011. Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh. Selangor : PTS Millenia Sdn. Bhd. hlm. xxv.
[2] Ibid. hlm. xxvi
[3] Ibid
[4] Ibid. hlm. xxvii
[5] Ibid. hlm. xxviii
[6] Ibid
[7] Dr. Ali Muhammad Ash-Shalabi. 2003. Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah. Jakarta Timur : Pustaka Al-Kautsar. hlm. xii-xiii
[8] Ibid.
[9] www.youtube.com/watch?v=EtSzaozgH2Q
[10] Mohd Fikri Che Hussain. 2010. Era Kebangkitan Kerajaan Uthmaniyah : Episod Silam Yang Dilupakan. Petaling Jaya : Hijjaz Records Publishing. hlm. 224-225.
[11] Ibid. hlm. 225.
[12] Dr. Ali Muhammad Ash-Shalabi, Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Utsmaniyah. hlm. 105.
[13] Muhammad Syaari Abdul Rahman. Kuasa Kepemimpinan Al-Fatih. hlm. xxxii-xxxiii
[14] Ibid. hlm. xxxiii.
[15] Ibid.
[16] Ibid. hlm. xxxiv
[17] Ibid. hlm. xxxv.
[18] Ibid.
[19] Ibid.
[20] Ibid.
[21] Ibid. hlm. xxxvi
[22] Mohd Fikri Che Hussain. Era Kebangkitan Kerajaan Uthmaniyah : Episod Silam Yang Dilupakan. hlm. 222.
[23] www.youtube.com/watch?v=EtSzaozgH2Q
[24] Ibid. hlm. 223.
[25] Ibid.
[26] Mohd Fikri Che Hussain. Era Kebangkitan Kerajaan Uthmaniyah : Episod Silam Yang Dilupakan. hlm. 250.
[27] Ab. Hamid Ali. 2011. Detik-Detik Konstantinopel dan Ibrah Buat Eropah. Kuala Lumpur : Mazni Irfan Publication. hlm. 29.
[28] Ibid. hlm. 30.
[29] Ahmad b. Hanbal. Al-Musnad. Sidqi Muhammad Jamil al-‘Atar. Jilid 8. Cetakan kedua. Dar al-Fikr. 1414H/1999M. Hadis ini ialah bilangan ke 18478.
[30] www.youtube.com/watch?v=6TSQvqMvIOU
[31] Ibid.
[32] Ibid.
[33] Ibid.
[34] Abdul Latip Talib. 2008. Sultan Muhammad Al-Fateh. Selangor : PTS Litera Utama Sdn. Bhd. hlm. 25.
[35] Dr. Ali Muhammad Ash-Shalabi. Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Utsmaniyah. hlm. 139.
[36] www.youtube.com/watch?v=6TSQvqMvIOU
[37] Ibid.
[38] Dr. Ali Muhammad Ash-Shalabi. Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Utsmaniyah. hlm. 139.
[39] Ibid. hlm. 163.
[40] Ibid. hlm. 174.
[41] Ibid.
[42] Ibid. hlm. 175.
[43] Ibid. hlm. 176.
[44] Muhammad Syaari Abdul Rahman. Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh. hlm. 33.
[45] Ibid.
[46] Ibid. hlm. 34-35.
[47] Mohd Fikri Che Hussain. Era Kebangkitan Kerajaan Uthmaniyah : Episod Silam yang Dilupakan. hlm. 228.
[48] Muhammad Syaari Abdul Rahman. Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh. hlm. 42.
[49] Ibid. hlm. 42-43.
[50] Ibid. hlm. 43.
[51] Ibid. hlm. 43-45.
[52] www.youtube.com/watch?v=EtSzaozgH2Q
[53] Ibid.
[54] Dr. Eeman Mohamed Abbas. 2002. Sultan ‘Abd Hamid II dan Kejatuhan Khilafah Islamiah. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn. Bhd. hlm. 15-16.
[55] Muhammad Syaari Abdul Rahman. Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh. hlm 191-192.
[56] Ibid. hlm 192.
----------------------------------------
Kertas Kerja oleh Siti Ainum binti Amijudin
Subjek Tamadun Islam Zaman Uthmaniyyah (2014)
Diploma Bahasa Arab dan Tamadun Islam, KIPSAS
----------------------------------------
aku tahu macam mana rasanya bila menemukan bahan-bahan yang diinginkan. apalagi untuk hal-hal yang kita sangat cinta. sebagaimana aku selalu jadi "gila" bila dapat bahan bacaan tentang Osmanlı Tarihi, aku harap orang yang punya "kegilaan" yang sama akan rasa the same excitement. kalau kertas kerja surah al-masad aku dah kerjakan dengan penuh passionate, kertas kerja ini berkali ganda lagi perasaannya. dalam keadaan demam panas siapkan assignment ni tapi sebab best, jalan terus. alhamdulillah untuk kecintaan ini!
semoga bacaan dan rujukan yang bermanfaat untukmu. selamat mengenali sejarahmu sendiri dan mencintainya.
1 comment(s)
assalamualaikum saya copy sedikit untuk buat assignment boleh kan?
ReplyDelete“Hanya sedikit ini yang kutahu, kutulis ia untuk-mu, maka berbagilah dengan-ku apa yang kau tahu.”