sifirnya mudah ; dia cinta aku

By Ainum Lathifah - December 23, 2015


wishlist aku sekarang rasanya cuma ada dua ;

pertama, semoga Allah ambil nyawa di kala jiwa sedang mabuk rindu kepada-Nya, tika aku redha akan-Nya dan Dia redha kepada aku.

sebab sekarang iman gersang terlampau. dahaga yang sepertinya tak akan hilang haus sampai bila-bila. jiwa kosong ibarat dalam lorong. sebelum sampai ke hujungnya, tak habis-habis hati berdebar curiga akan apa yang bakal ditemui di hadapan sana ; cahaya atau jalan mati.

begitulah.



kedua, aku mahu sekali supaya ada seseorang yang bahunya boleh aku tumpang bersandar. kalau aku menangis dia cuma diam tak banyak tanya. kalau aku diam dia tahu aku lagi terganggu emosinya. tak, aku bukan bercakap mahukan lelaki yang dipanggil suami. tak kisahlah lelaki atau perempuan. asalkan bukan kucing.

tak tahulah kalau aku buta. tapi yang betul-betul tulus mencintai aku, rasanya belum aku jumpa. sekali lagi aku kata, tak kisahlah lelaki atau perempuan. asalkan manusia. tulus pada mata aku, dia mencintai aku dari sudut yang paling penting ; emosi. tak akan sembarang dia bercerita tentang hal yang bikin hati aku terusik. tak akan suka-suka hatinya dia berbuat sesuatu yang buat aku tambah sakit. walaupun semuanya tak aku tayang pada khalayak, tapi dia sudah cukup mengerti tanpa perlu aku fahamkan. sifirnya mudah ; sebab dia cinta aku.

tapi susahlah mahu jumpa. mungkin aku cuma berharap sampai ke mati. mungkin belum berhasil jumpa kerana aku sendiri pun tak pernah tulus mencintai sesiapa saja.

entahlah.

cumanya, aku sangat menghargai sesiapa saja yang mampu menghormati emosi aku yang sedang tidak tentu. menjadi hal yang paling sulit untuk melakukannya, aku faham sekali.

tapi lagi sekali aku bilang - sifirnya mudah ; kalau dia cinta aku.








  • Share:

You Might Also Like

0 comment(s)

“Hanya sedikit ini yang kutahu, kutulis ia untuk-mu, maka berbagilah dengan-ku apa yang kau tahu.”