Seperti kemarau yang inginkan hujan, begitulah cinta dikehendakkan oleh insan. Semakin hari kita semakin mendewasa dan rasa ingin memiliki dan dimiliki itu juga bertambah seiring dengan kematangan usia.
Kamu pernah jatuh cinta? Atau sedang jatuh cinta?
Seseorang mampu untuk berubah total bila dia jatuh cinta. Jelas terlihat bila banyaknya naskhah puisi dan lirik lagu yang dihasilkan setelah dia jatuh cinta. Benar sekali kata Bunda Helvi Tiana Rosa bahawa;
“Kita perlu jatuh cinta atau patah hati untuk dapat membuat puisi yang bagus.”
Heh. Besar kesannya ya? Ada juga yang mengatakan bila seseorang itu putus cinta, dia sudah boleh keluarkan album best seller. Puitisnya melampau!
Namun, saya setuju juga. Kerana pengalaman sebagai blogger, biasa entri yang saya tulis saat saya hancur ranap itulah yang menjadi top entry. Sesekali pernah juga ada rasa dan menyanyi sendiri, “teganya kau menari di atas tangisanku”. Kita sedang berduka, dia malah bersuka-suka dengan tulisan kita. Oh, abaikan.
Contohnya dalam novel Ayat-Ayat Cinta, Maria yang patah hati setelah Fahri menikah. Tulisan derita Maria itu menjadi indah walaupun hakikatnya sakit untuk dibaca.
".....Nil dan Mesir....memang bersatu..."
"....tapi, Nil itu menjadi kering oleh Mesirku yang mulai berubah..."
"...dia telah menemui Nilnya...tapi bukan Aku.."
Cinta itu sungguh, besar impaknya. Kan ?
Dampak dari jatuh cinta kepada seseorang itu sebenarnya bergantung kepada bagaimana dia menilai cinta tersebut dan bergantung juga kepada siapa dia serahkan cinta itu. Aduh, bahayanya bila bercinta sebelum nikah. Jadi kabut semuanya.
Oh Rabb, bantulah kami uruskan cinta.
Islam kan mudah. Kenapa pula tak boleh bercinta sebelum nikah ?
Menurut Ustaz Hasrizal bin Abdul Jamil, beliau mengatakan bahawa bukan tidak boleh bercinta sebelum nikah namun, sekiranya kita memilih untuk bercinta selain daripada bercinta selepas kahwin, kita sebenarnya memilih cinta yang susah. Kenapa dikatakan susah? Susah kerana tidak ada garis panduan dalam bab bercinta sebelum kahwin. Kata beliau lagi, beliau belum pernah jumpa nas-nas yang menceritakan tentang sahabat-sahabat bercinta sebelum kahwin. Belum ada lagi yang beliau jumpa kalau-kalau ada nas tentang sahabat menaiki unta dengan pacar. Ya, memang tidak ada kerana sahabat-sahabat tidak pernah terfikir untuk melalui zaman percintaan selain dari perkahwinan. Dan juga tidak ada dalil yang boleh beliau kongsikan untuk membenarkan umat Islam bercinta sebelum nikah.
Kata Sheikh Omar Suleiman dalam satu video, memetik kata-kata Ibnu Qayyim al-Jauzi;
"malaikat diciptakan dengan tujuan, tapi tanpa nafsu. haiwan pula dijadikan bernafsu, tapi tanpa tujuan. manusia pula diciptakan dengan kedua-duanya; iaitu dengan tujuan, dan disertai dengan hawa nafsu. jika ‘tujuan’nya lebih kuat berbanding nafsu, maka dia menghampiri status malaikat. namun, jika ‘nafsunya’ lebih kuat berbanding ‘tujuan’nya, maka dia menghampiri status ‘haiwan’".
Allahhu!
Kata seorang kakak, manusia sentiasa diberi pilihan; sama ada lebih cenderung memilih ‘tujuan’ penciptaannya, atau ‘nafsu’nya. Pilihan menjadi hamba Allah, atau hamba nafsu?
Selalu, kita akan kalah dengan nafsu bila melibatkan urusan cinta. Oleh itu, jalan yang terbaik adalah menjauhinya. Kan Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Isra ayat tiga puluh dua;
“dan janganlah kamu mendekati zina;(zina) itu sungguh suatu perbuatan yang keji, dan suatu jalan yang buruk.”
Masih pacaran? Sudah, putusin aja !
Kalau tak boleh berpacaran, kenapa harus ada perasaan cinta ? Baik hapuskan saja !
Sekiranya kalian masih ingat subjek Fizik yang kalian belajar pada zaman sekolah, ia menerangkan tentang prinsip tenaga atau biasa kita sebut sebagai energy. Dan menurut ilmu Fizik, tenaga tidak boleh dimusnahkan sama sekali.
Kak, kita sedang bercakap tentang cinta. Kenapa tiba-tiba keluar soal Fizik-Tenaga segala ni?
Menurut Ustaz Hasrizal lagi, cinta adalah tenaga. Love is energy. Makanya, cinta tidak boleh dimusnahkan. Menghapuskan cinta bererti melanggar sunnatullah. Tidak boleh dihapuskan sebaliknya cinta itu boleh diubah kepada bentuk yang pelbagai. Sama seperti tenaga.
Mana mungkin kita mampu untuk membuang rasa cinta kerana rasa itu adalah anugerah Allah yang menjadi fitrah kepada manusia.
Terus ? Kita harus bagaimana ?
Kita harus belajar untuk mengawal cinta yang ada dalam diri kita supaya rasa itu tidak membawa kita ke jurang kebinasaan. Cinta ini katalis untuk manusia peroleh syurga namun, cinta juga adalah katalis untuk manusia mendapat neraka.
Berapa ramai yang binasa gara-gara janji manis yang diberikan oleh pasangan? Lelaki seharusnya bersifat melindungi bukan menghancurkan. Oh, saya bukan bermaksud mahu membela kaum sendiri tetapi, memang itu yang sewajarnya. Err.. sewajibnya. Seharusnya masing-masing menghormati kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kalau lelaki lemahnya pada nafsu, seharusnya perempuan tidak makin menambah kegusaran dia. Dan kalau perempuan kurangnya pada akal, harusnya lelaki tidak membuat dia makin kelihatan bodoh, kan?
“kalau langit itu perempuan, maka awan itu emosinya. Langit dan awan, perempuan dan emosi. Cinta tidak bisa memilih satu antara keduanya. Ketika kau kata cinta pada langit, kau kena juga sanggup mencintai awannya. Sanggup? Cinta pada emosinya aku?”
- Hua Mulan
Artikel oleh :
Ainum Solehah
Dari Buletin Ar-Ruhul Jadid terbitan AMAN Club KIPSAS
0 comment(s)
“Hanya sedikit ini yang kutahu, kutulis ia untuk-mu, maka berbagilah dengan-ku apa yang kau tahu.”