Dalam perkembangan tamadun Islam, kerajaan yang bertanggungjawab memperluaskan legasi pemerintahan Islam di dunia adalah pada zaman kerajaan Islam Umayyah yang diasaskan oleh Muawiyah bin Abu Sufyan pada tahun 41 Hijriah bersamaan dengan 611 Masihi di Damsyik. Pemerintahan pada zaman Umayyah telah melahirkan sebuah pencapaian yang besar iaitu kejayaan menakluki Sepanyol (Andalus) yang telah mengangkat kewibawaan Islam di persada dunia. Andalus telah diduduki oleh umat Islam pada zaman Khalifah Al-Walid. Penaklukan awal sebelum penaklukan Andalus adalah Afrika Utara yang terjadi pada zaman Khalifah Abdul Malik bin Marwan.
Penerimaan Islam di Andalus telah membawa kepada satu pemerintahan yang gilang-gemilang dalam pencapaiannya. Hal ini demikian kerana terdapat beberapa faktor yang menyebabkan diterimanya Islam di Andalus. Faktor yang paling utama adalah kerana faktor dalaman Andalus sendiri. Roderick merupakan seorang raja yang tamak dan zalim. Perselisihan yang berlaku antara Roderick dan Witiza telah menyebabkan perpecahan. Pencabulan ke atas puteri Julian, gabenor di Ceuta oleh Roderick telah menyemarakkan lagi kemarahan mereka. Julian telah bertindak memohon kerjasama dengan orang-orang Islam yang menampilkan tiga tokoh berjasa dalam penaklukan Andalus iaitu Tharif bin Malik, Tariq bin Ziyad dan Musa bin Nusair. Krisis politik yang berlaku telah membuka ruang kepada umat Islam untuk masuk ke Andalus.
Selain itu, faktor yang kedua adalah sikap umat Islam itu sendiri. Semasa proses penaklukan Andalus di bawah pemerintahan Tariq bin Ziyad dan Musa bin Nusair, orang-orang Islam yang terdiri daripada golongan Arab dan Barbar telah memainkan peranan yang penting. Mereka telah bersungguh-sungguh dalam membantu masyarakat Andalus yang pada ketika itu ditindas oleh pemimpin yang kejam sekaligus untuk meluaskan empayar Islam di Andalus. Sikap bijak mengambil peluang ini adalah antara sebab utama dalam kejayaan mereka menakluki Andalus. Orang-orang Islam juga memberi layanan yang baik terhadap masyarakat Andalus walaupun setelah mereka berjaya menakluki dan menjadi penaung kepada Andalus. Budaya ilmu yang diterapkan oleh pemimpin Islam juga telah menggalakkan masyarakat menimba ilmu pengetahuan dan hal ini telah menjadikan mereka celik ilmu. Sikap orang Islam ini telah memperbesarkan lagi peluang kepada umat Islam dalam mengembangkan wilayah Islam.
Seterusnya, faktor penerimaan Islam di Andalus adalah kerana faktor agama Islam. Kesyumulan yang ada pada agama Islam telah membuka mata masyarakat Andalus untuk memberi ruang kepada Islam untuk bertapak di bumi Eropah. Pemerintahan Islam yang adil telah menarik ramai masyarakat Andalus yang terdiri daripada keturunan beragama Kristian untuk memeluk agama Islam. Persamaan taraf dan perlindungan yang diberikan oleh pemerintah Islam juga telah mewujudkan suasana harmoni di Andalus. Ramai golongan muwalladun mengaku mereka adalah orang Arab kerana telah terpengaruh dengan budaya yang dibawa oleh orang Islam berbangsa Arab. Kepelbagaian bangsa di Andalus tidak menjadi penghalang untuk Islam menjalar dengan lebih jauh kerana ciri-ciri yang ada pada Islam itu sendiri sangat bersesuaian dengan fitrah sekalian manusia tanpa mengira bangsa.
Kesimpulannya, jelaslah bagaimana Islam boleh diterima di Andalus. Penting bagi umat Islam pada zaman sekarang untuk menyelusuri perjalanan tamadun Islam. Sekiranya manusia itu melupakan sejarah maka, mereka dianggap seperti lupa akan asal-usulnya sendiri. Pengambilan ibrah dari peristiwa tamadun sangat penting untuk manusia mendidik langkah mereka dalam melakukan sesuatu perkara. Maka, tidak hairan jika Ibnu Khaldun mengatakan bahawa beruntung bagi sesiapa yang meneladani sejarah yang baik dan binasa bagi yang memilih untuk mengulangi sejarah yang hitam. Pencapaian tamadun Islam di Andalus adalah satu contoh yang boleh disenyawakan dalam diri umat Islam bagi meraih kemenangan Islam kelak.
Artikel oleh :
Siti Ainum binti Amijudin
Diploma Bahasa Arab dan Tamadun Islam
Semester Empat Tahun Dua
Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah
Artikel oleh :
Siti Ainum binti Amijudin
Diploma Bahasa Arab dan Tamadun Islam
Semester Empat Tahun Dua
Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah
0 comment(s)
“Hanya sedikit ini yang kutahu, kutulis ia untuk-mu, maka berbagilah dengan-ku apa yang kau tahu.”