"Ana suka enti. Kalau tak percaya sila belah hati."

By Ainum Lathifah - March 27, 2015


Sekiranya dahulu masalah couple ini cuma berlaku dalam kalangan remaja yang tidak mendalami penghayatan agama Islam namun, kini terbit pula satu fenomena baru dalam budaya couple iaitu Couple Islamik. 

Couple Islamik adalah hubungan yang melibatkan seorang akhi dan seorang ukhti. Jika remaja biasa ber-couple dengan berpegangan tangan, dating di taman, ber-selfie bersama, dan bergayut setiap malam, pasangan couple Islamik ini pula saling berbalas SMS tazkirah, kejut tahajjud, malu-malu meow apabila bertemu, dan dating bertemankan sahabat (eh,bukan datinglah. Okay. Mensucikan niat sendiri yang tak tahu bersih atau kotor.) 

Lagi extreme bila masing-masing upgrade pada pangkat ‘tunang’. ‘Tunang’ yang dicipta sendiri. Berapa ramai juga yang membelakangkan mak ayah dalam urusan pertunangan. Pertunangan yang seharusnya dilalui dengan kesederhanaan kini dicemar oleh segolongan ikhwan dan akhawat yang tak reti menjaga! Tempoh pertunangan bukan tempoh untuk menyesuaikan diri dengan panggilan cinta-sayang-abang-baby-gegirl-boboy-mama-papa-abi-umi segala. Seharusnya, pertunangan itu adalah tempoh untuk ber-ta’aruf dengan pasangan dalam keadaan sederhana dan tidak melampaui batas. Namun, jangan pula terlalu syadid menjaga sehingga tidak mahu berhubung terus dengan tunang. Nanti hilang pula hikmah pertunangan.


Batas Hubungan Semasa Bertunang

“Biarpun seorang lelaki dan seorang perempuan itu telah bertunang, hakikatnya mereka berdua tetap warga asing yang tidak diharuskan bergaul bebas atau apa-apa hak yang diberikan hanya kepada pasangan lelaki dan perempuan yang telah berkahwin secara sah.

Saya bersyukur kerana jarak lapan jam perjalanan dengan bas itu bermanfaat untuk kami saling menjaga perhubungan. Sesekali menelefon untuk bertanya khabar dan berbincang tentang perancangan-perancangan berkaitan, namun kami mencuba sedaya upaya untuk tidak berlebih-lebihan.

Ada panggilan telefon mungkin sekadar beberapa minit.

Ada panggilan telefon mungkin perlu hingga satu jam.

Bertanyalah kepada hati, jika perasaan memberitahu bahawa perbualan itu mendatangkan rasa resah dan bersalah, maka selesaikan perbincangan dengan cara baik agar tidak berlebih-lebihan dan mencetus dosa.

Selama pertunangan kami, saya dan dia sering bersama, tetapi tidak berjumpa. Kami sering hadir ke program-program seminar, ceramah, perhimpunan musim sejuk dan sebagainya, tetapi tidak berjumpa. Apabila saya mengimamkan qiamullai di Masjid Clonskeagh, saya tahu yang tunang saya turut bersama, dan itu sudah cukup lagi memadai.

 Pertunangan juga tidaklah perlu dihebahkan.

Nabi SAW sendiri ada mengingatkan kepada kita: “Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan.” (Riwayat Ahmad daripada Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil).

Pertunangan ialah suatu komitmen yang belum pasti. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan, boleh juga tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan. Namun ulama menjelaskan bahawa antara hikmah Islam menggesa pertunangan itu tidak boleh dihebah-hebahkan ialah kerana untuk menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad manusia yang bertindak tidak baik. Ia dijelaskan demikian dalam Hashiah al-‘Adawi ‘ala Sharh Mukhtasar Khalil.

Kerahsiaan pertunangan itu juga menjadikan kita terkawal daripada berkelakuan seperti sudah bersuami isteri kerana hakikatnya seorang lelaki dan perempuan yang bertunang, masih asing dan sedang berada di medan ujian mengawal diri dan bijak mengatur komunikasi dengan pasangan yang bakal menemani hidup… selama-lamanya sampai mati." 

(Aku Terima Nikahnya, Hasrizal Abdul Jamil, hlm. 19-20)   




AWAS! Jangan tertipu dengan karikatur cinta Islamik di laman sosial.

Jelas untuk kita lihat bahawa antara punca paling besar dalam berlakunya penjalaran budaya couple Islamik dengan lebih meluas adalah apabila mereka terpengaruh dengan karikatur cinta Islamik yang diwujudkan di laman sosial seperti Facebook.

Khayalan tentang alam perkahwinan yang bersulamkan redha Allah semakin menjajah fikiran remaja Islam sehingga mereka lupa hakikat sebenar perkahwinan. Nikah itu tidak cukup dengan modal firasat, bak kat Ustaz Mujab dalam filem Ketika Cinta Bertasbih. Kita harus realistik !

“Kalau aku jadi orang tua Anna, ketika ada dua mahasiswa datang padaku. Yang satu sangat serius belajar sementara yang satunya hanya sibuk mebuat tempe dan bakso… maaf Zam, aku akan memilih yang serius belajar. Aku tidak bermaksud menyinggungmu. Tapi aku ingin kamu lebih realistis. Cobalah kamu raba, apa kata Cairo tentang-mu.” 
(Sedutan Filem Ketika Cinta Bertasbih)

Nah, gitu kan ?

Nikah itu tanggungjawab dan tanggungjawab itu amanah, bukan keseronokan. Timbanglah sebaiknya sebelum memutuskan untuk menikah. Kerana kita bukan mahu hidup sehari dua saja dengan pasangan kita, malah dia yang akan menentukan syurga neraka kita. Jadi, harus berfikir yang benar.

Remaja, jangan layu sangat dengan falsafah cinta. Da'ie itu bukan membuang masanya dengan falsafah cinta sahaja. Bimbang mulut menutur nasihat cinta islami, sedangkan hati sedang memujuk nafsu agar mendekati.

Menarik untuk dikongsikan lagi pandangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil,

“Nasihat saya kepada anak-anak muda yang berpemikiran canggih, jangan berlebihan mengangkuhkan diri terhadap persoalan cinta dan pengurusan rumahtangga. Apabila konflik rumahtangga timbul, isteri merajuk menangis, mertua buat hal, berbalah adik beradik, anak meragam tak kena masa, semua falsafah yang kita belajar akan hanya termenung di tepi gelanggang. Dan akhirnya OTOKRASI TEOKRATIK sahaja penyelesaian yang sempat dicapai tangan. Bersederhanalah dalam segalanya."


Artikel oleh :
Ainum Solehah
Dari Buletin Ar-Ruhul Jadid terbitan AMAN Club KIPSAS

  • Share:

You Might Also Like

0 comment(s)

“Hanya sedikit ini yang kutahu, kutulis ia untuk-mu, maka berbagilah dengan-ku apa yang kau tahu.”