Sunday, 14 December 2014

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck


aku rasa aku sedikit ketinggalan (sebenarnya banyak!) untuk membicarakan tentang buku ini. sebuah mahakarya dari Buya Hamka. buku yang agak kontroversi. buku yang memberi persoalan kepada banyak orang, "masa sih ulama menulis buku semacam ini -- hikayat cinta!". dan jika dibaca isinya sendiri pun sememangnya ada hal yang bertentangan (bagi saya). cuma saya lebih suka berpandangan sebegini, setiap tulisan ada cerita sebelumnya di belakang tabir. setiap tulisan itu berdiri dengan tiangnya sendiri. adalah sebabnya kenapa seorang Buya Hamka yang berdiri dengan title ulama ini menulis karangan seperti ini. sudah pasti ada maksud yang ingin dimafhum oleh orang banyak. beliau lebih tahu. baca dan ambil saja ibrah yang ada (yang penting - bahasanya sangat enak!).

sebenarnya maksud tulisan kali ini hanyalah untuk membuat satu khulasah. apa yang boleh saya simpulkan menerusi cerita ini. banyak input yang boleh didapati dari buku ini, tetapi saya cuma mahu highlight apa yang paling nampak di mata saya.

point yang paling jelas mahu Buya Hamka sampaikan pastinya adalah perbezaan adat yang membawa kepada binasa. orang Minang sangat bangga dengan adat yang mereka pegang. memang tidak boleh bercampur dengan yang lain. Zainuddin 'ditendang' dari tanah asal ayahnya hanya kerana ibunya orang Mengkasar. adat orang Minang, lebihnya di bahagian ibu.


"kadang-kadang disesalinya perkahwinan ayahnya dengan ibunya. kadang-kadang pula dia menyedari untung malangnya, mengapa dia tidak dilahirkan dalam kalangan orang Minangkabau! tapi bukan itu agaknya yang menutup pintu baginya untuk bertemu Hayati, agaknya lantaran dia tak memiliki wang. orang tak melihat bahawa sekadar belanja menunggu dapat penghidupan tetap, dia masih menyimpan. tetapi bukan itu yang jadi sebabnya, walaupun wang berbilang, emas bertahil, namun pemisahan adat masih tebal di negeri itu. ia diusir meskipun dengan cara halus. perbuatannya dicela, namanya dibusukkan. seakan-akan tersuci benar negeri Minangkabau ini daripada dosa." - hlm. 55 (cetakan PSN Kreatif)


apa yang mahu saya highlightkan adalah betapa perempuan selalu menjadi orang yang menang.

sakitnya patah hati itu hanya yang pernah merasa saja yang tahu. maksud tak kesampaian. angan tak tercapai. terasa malang sekali hidup. maaf, saya hanya menceritakan kembali apa yang Zainuddin rasa. tak ada kaitan antara hidup dan mati (sengih). walaupun Hayati menikah dengan Aziz, tetapi tak juga bahagia itu dia rasa kerana kedua-duanya berlainan tujuan. Aziz hanya mahukan Hayati kerana dia adalah bunga Batipuh yang begitu mekar. difikirnya bahagia itu ada pada Aziz, pada kecantikan dan pada wangnya. tetapi hidupnya lama-lama sengsara, makan hati berulamkan jantung. sampai saatnya mereka bertiga ditemukan kembali, Zainuddin - Hayati - Aziz.

Zainuddin berlagak biasa. kerana dia memegang teguh kepada kata-kata Hayati supaya mereka cuma tinggal bersahabat. dendam dan cinta sentiasa berlawan sesama sendiri. cinta pada perempuan yang memberinya kehidupan, tapi ada dendam kerana janji yang dimungkiri.


"maaf? ... kau meminta maaf Hayati? setelah segenap daun kehidupanku kau regas, segenap pucuk pengharapanku kau patahkan, kau minta maaf?"


"mengapa engkau telah menjawab sekejam itu kepadaku, Zainuddin? lekas sekalikah pupus daripada hatimu keadaan kita? jangan kau jatuhkan kepadaku hukuman yang begitu ngeri! kasihanilah seorang perempuan yang ditimpa celaka berganti-ganti ini." - hlm. 192



there's an idiom -- no love lost. for example, there's no love lost between them. it means they dislike each other. sort of war, love is? jadinya pantaslah kalau saya berpandangan dalam hal ini, perempuan biasanya menjadi pemenang. tak kisahlah segetir apapun dia menanggung rasa gara-gara kehilangan, putus cinta atau dipaksa menikah dengan orang lain, dalam cerita mereka tetaplah perempuan yang menang dalam rasa.

dan kadang-kadang keberhasilan perempuan dalam meluahkan rasa dan mengekspresikan perasaan itu juga tanda betapa perempuan itu lebih 'tegar'. jangan salah sangka, saya bukan bias. sekali lagi saya katakan, saya hanya highlight apa yang saya nampak jelas dari cerita ini. bagaimana Zainuddin mengharapkan hadir Hayati di sisinya, sedangkan Hayati semakin jauh, lepas dari tangannya. pertama, Hayati melepaskan Zainuddin di hujung jalan. katanya mereka berdua tidak berharta, payah untuk hidup bersama. dan pertemuan seterusnya Hayati bersama Aziz, jelas di depan mata tapi tangan Hayati dalam genggaman lelaki lain. dan pada waktu mereka diberi peluang untuk bersatu, Hayati pergi sekali lagi natijah dari kecelakaan kapal Van Der Wijck -- kali ini pergi untuk selama-lamanya.

biasa perempuan menceritakan segala sedih derita hidupnya, perit kehilangan yang mereka rasa (saya fokus dalam hal percintaan), merasakan merekalah yang paling tertindas, merasakan cinta merekalah yang paling suci, merasakan merekalah yang lebih mencintai tetapi ada yang mereka tak tahu.

bagaimana pula kondisi seorang lelaki hanya kerana cinta seorang perempuan?



"Hayati, amat besar harganya perkataanmu itu bagiku. saya putus asa, atau saya timbul pengharapan dalam hidupku yang belum tentu tujuannya ini, semuanya bukan bergantung kepada diriku, bukan pula kepada orang lain, tetapi kepada engkau sendiri. engkaulah yang sanggup menjadikan saya orang yang gagah berani, tetapi engkau pula yang sanggup memutuskan harapanku, engkau pun sanggup membunuhku." - hlm. 58

"demikianlah perempuan. dia hanya ingat kekejaman orang kepada dirinya walaupun kecil, dan dia lupa kekejamannya sendiri kepada orang lain padahal begitu besarnya." - Zainuddin, sedutan filem.


menghadamkan cerita ini, saya baru sedar rupa-rupanya lelaki tidaklah terlalu tidak berperasaan (ops!) dan saya tidak pula memberi hukum bahawa lelaki itu lemah kerana cinta hanya melalui cerita ini. ini tentang Zainuddin - Hayati. yang mungkin orang di luar sana pernah alami hal yang serupa. tapi cerita ini zaman Buya Hamka. tak sama dengan kita sekarang. ada lagikah yang pertahankan adat seperti orang Minang pada zaman itu? wallahu'alam.

apapun, saya suka semangat Zainuddin untuk bangkit setelah dia jatuh. nasihat Muluk, temannya, sangat membangunkan.


"eh, berhentilah bersedih begini, engku. yang terjadi sudahlah terjadi. engku, engku ini sudah banyak menuntut ilmu di sini, budi pekerti, kesopanan, dan pemikiran yang luas sudah engku raih. janganlah lebih lemah dari kami para parewa yang tidak kenal baca bismillah. tidak baik hidup yang mulia ini terkurung semata-mata hanya memikirkan perempuan. perempuan yang engku junjung tinggi itu telah berkhianat, memungkiri janjinya. di sini engku sengsara, bersakit-sakit, sedangkan dia sedang menikmati masa pengantin baru dengan suaminya. engku ini orang pintar, kenapa harus hancur oleh perempuan. di mana letak pertahanan kehormatan yang ada pada seorang laki-laki, hah? jangan mau hidup engku dirampas dan dirosak binasakan oleh perempuan itu. engku mesti tegak kembali. cuba engku lihat lagi dunia lebih luas dan masuk kedalamnya. di sana masih banyak kebahagiaan dan ketenteraman tersimpan. engku pasti bisa melakukannya dan mengecap bagaimana nikmat kebahagiaan dan keberuntungan itu. cinta bukan mengajarkan kita untuk menjadi lemah tapi membangkitkan kekuatan. cinta bukan melemahkan semangat tapi membangkitkan semangat. tunjukkan pada perempuan itu bahwa engku takkan mati lantaran dibunuhnya." - Muluk, sedutan filem.







rasa macam mahu kongsi satu buku tapi sebenarnya dah ramai yang baca (saya baru tertarik hati untuk baca). oh, saya rasa tak ramai yang dah tonton filemnya, kan? kalau mahu, boleh download di sini(sebenarnya saya jadi semangat nak baca buku ni sebab trailer-nya. haha!)








ibrah yang boleh diambil adalah jangan mengambil sesuatu dengan kadar yang berlebihan. sebenarnya entri saya yang ini, adalah ilham dari cerita ini juga. 

ya, sekali lagi saya katakan -- bersederhanalah dalam segalanya. semoga Allah tuntun hati kita semua. semoga mampu jatuh cinta pada yang selayaknya dengan kadar yang selayaknya. oh, dan untuk kamu yang mungkin sedang 'jatuh', semoga berhasil untuk bangkit. Allah ada bersama kita. semangat!

wallahu'alam. :)



2 comments:

  1. hei budakk kecik. . .akak baru follow blog kau ni. . :D ingat lagi dok kakak sabah ni. ..

    ReplyDelete

“Hanya sedikit ini yang kutahu, kutulis ia untuk-mu, maka berbagilah dengan-ku apa yang kau tahu.”