Muraqabah Pemelihara Diri

By Ainum Lathifah - July 25, 2012



Muraqabah atau muraqabatullah merupakan suatu sifat mukmin yang dianggap mulia kerana  dengannya seorang mukmin menjalani seluruh kehidupannya dengan merasakan dia sentiasa diawasi, serta diperhati oleh Allah, Tuhan sekalian alam.  Perasaan hidup dalam pengawasan Allah merupakan perasaan yang terbaik bagi seseorang mukmin.

Muraqabah berasal daripada perkataan  ‘raqaba’ yang bererti memerhati, mangawasi dan menyaksi.  Dan muraqabah pula membawa maksud pengawasan dan pemerhatian.

Muraqabah atau muraqabatullah pula membawa maksud pengawasan terhadap zat yang menjaga dirinya (Allah) dan menaruh perhatian yang sebesar-besarnya kepadaNya. Maksud muraqabah juga dihuraikan melalui hadith Jibril mengenai ihsan, yakni;

“kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya, dan sekiranya kamu tidak melihatNya maka Dia melihat kamu” [Muslim].

Sifat muraqabah dalam diri akan menyebabkan  seseorang mukmin merasa sentiasa diperhati yang membuatkan dia merasa takut untuk membuat dosa kerana dia tahu dia tidak pernah terlepas dari pandangan Tuhannya. Maksiat-maksiat yang terhidang akan dapat dihindari dengan adanya rasa muraqabah itu.

Bukan senang untuk menanam sifat ini dalam diri kerana sifat kita manusia, sangat mudah terpedaya dengan kebahagiaan sementara. Merelakan diri menjadi hamba kepada nafsu. Bila hati sudah dipenuhi dengan noda-noda hitam, bagaimana mungkin sifat muraqabah itu mampu muncul dalam diri?

Untuk memberikan kefahaman yang lebih jelas tentang muraqabah, di sini disertakan contoh-contoh pelaksanaanya dalam diri seseorang mukmin.





· Berpuasa di bulan Ramadhan

Seorang muslim itu apabila berpuasa, akan diuji dengan rasa lapar dan dahaga. Oleh sebab puasa Ramadhan itu wajib bagi seluruh orang Islam,  maka akan timbul rasa malu dalam diri mereka sekiranya tidak berpuasa. Tetapi, jika tiada sifat muraqabah dalam diri, seseorang itu akan curi-curi makan atau minum di saat tiada orang yang melihatnya. Dia lupa bahawa malaikat sedang mencatit perlakuannya dan Allah itu Maha Melihat.

· Menutup aurat

Setiap muslimin dan muslimat diwajibkan untuk menutup aurat secara sempurna. Kepentingan sifat muraqabah di sini adalah apabila seseorang muslimin atau muslimat itu berada di sesuatu tempat di mana manusia kurang menghayati ajaran Islam, contohnya di bandar-bandar besar yang maju. Mereka tidak menitik beratkan tuntutan menutup aurat kerana berada jauh dari keluarga dan sebagainya.

Seterusnya, apabila belajar ataupun merantau di negara orang seperti Amerika. Ramai orang Islam telah tersungkur dengan arus kehidupan moden yang menghanyutkan manusia yang punya iman senipis kulit bawang. Terikut-ikut dengan budaya kuning dari negara barat hingga agama dan adat ditolak ketepi.


 Allah telah berfirman dalam surah An-Nur ayat 64;

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar.”

Sesungguhnya Allah sangat tidak suka hambanya yang mengikut cara kaum lain. Itulah natijahnya apabila tiada sifat muraqabah dalam diri. Betapa dia lupa bahawa dia ada Tuhan yang sentiasa mengawasi gerak-gerinya, tidak kira dia berada di penjuru dunia mana sekalipun.

· Hubungan dengan bukan mahram

Manusia fitrahnya ingin menyayangi dan disayangi. Seperti adanya langit dan bumi, begitu juga ada lelaki dan perempuan. Telah Allah ciptakan makhluk-Nya berpasang-pasangan. Lelaki akan tertarik kepada perempuan dan begitulah sebaliknya. Tetapi, apa yang menghalalkan perhubungan mereka hanyalah perkahwinan. Tiada cara lain.

Dewasa ini, banyak berlakunya seks bebas dalam kalangan para remaja tidak kiralah yang mempunyai asas agama ataupun tidak. Hedonisme kelihatannya sedang meratah remaja-remaja Islam dengan rakus sekali. Hal ini demikian kerana tiada wujud dalam diri bahawa mereka itu hamba Allah dan Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.

Sekiranya mereka merasakan sentiasa diperhatikan, maksiat sebegitu tidak akan terjadi. Zina semakin biasa ibarat bukan satu dosa. Sedang Allah sudah berfirman dalam Surah Al-Isra’ ayat 32;

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

Permulaan zina bermula apabila lelaki dan perempuan saling tidak menjaga pandangan. Firman Allah dalam surah An-Nur ayat 30;

“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman; hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”

Kemudian membawa kepada berhubungan tanpa sebarang ikatan yang sah. Yang ada hanya ikatan ‘cinta’ yang mereka agungkan. Cinta mereka itu cinta sejati, kononnya. cinta yang hakiki hanyalah cinta kepada Allah. Bukan kepada makhluk.

Cinta tidak salah. Yang menjadi masalah apabila manusia silap membawa cinta ke arah yang tidak sepatutnya. Hati itu sangat perlu dijaga. Simpan hanya untuk yang layak bila tiba waktunya. Janganlah menjadi hamba kepada cinta. Sewajibnya manusia itu menjadi hamba kepada Allah dan merdeka daripada nafsu.

Dalam muamalat

Apabila melibatkan wang, mata manusia sepertinya dikaburkan. Mudah sekali syaitan mengarahkan sesuatu, dan nafsu mula meronta minta diikut kemahuannya. Bermulalah perniagaan yang tidak jujur. Barangan atau makanan yang tidak elok dijual kepada pelanggan. Tidak pernah mahu mencontohi bagaimana sifat Nabi Muhammad S.A.W. dalam berniaga. Semakin susah mahu mencari perniagaan yang betul-betul bersih. Riba dan rasuah  semakin menjadi-jadi. Padah kalau tidak merasa Tuhan di hati, ada pandangan-Nya yang sentiasa memerhati.

Muraqabah Pemelihara Diri

Antara nilai akhlak mulia yang dihasilkan kesan muraqabah ialah berkeyakinan, mudah menerima pengajaran, merancang program yang berfaedah, bersedia memberi khidmat, dan berbudi bahasa.
Bagi memastikan diri kita sentiasa bermuraqabah pastikan bahawa jasmani dan rohani sihat, punya pendengaran yang tajam, kemahuan yang kuat, kefahaman yang betul, ada usaha yang praktikal serta sentiasa bertaubat dan memelihara hukum Allah.
Kesimpulannya, untuk punya sifat muraqabah perlu ada kemahuan dan usaha. Pasti Allah akan menyambutnya.


note :
sebenarnya ni artikel masa sem 1, lupa dah mana dapat sumber. masa tu tak concern lagi bab kredit. huhu. sebahagian ayat aku dan mostly aku rujuk artikel lain.


  • Share:

You Might Also Like

2 comment(s)

  1. assalamualaikum ainum :)

    muraqabah. hari tu nak update juga tentang ni tapi tertangguh. hukkk...
    mungkin nnti kalau update sikit boleh link pada entry ainum ni. ^^
    semoga dengan muraqabah ini, tercapailah sifat ihsan dalam diri :)

    salam Ramadhan kareem :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikumsalam kak alyaa :)

      hihi.. ni artikel yang lecturer suruh buat masa cuti ari tu.

      semoga.. ameen :)

      salam ramadhan kareen too !

      Delete

“Hanya sedikit ini yang kutahu, kutulis ia untuk-mu, maka berbagilah dengan-ku apa yang kau tahu.”