99 hari dicintaimu? ah, cringe-nya tajuk!

By Siti Ainum - February 15, 2020

hari ini kita sudah 99 hari, mas. tempoh yang masih baru. masih dalam fasa berkenal-kenalan denganmu, tentang apa yang kau suka dan tak suka, tentang bagaimana tingkah lakumu, bagaimana emosimu dan bagaimana cara kau mencintaiku hiks!

maaf, mas. saya harus berterus-terang tentang satu perkara denganmu di hari ke-99 ini. 

sebenarnya, sewaktu mas melafazkan akad nikah bagi menghalalkan kita, saya masih belum dilamun cinta, mas. rasa sesuatu yang istimewa itu memang ada untukmu tapi secara yakinnya untuk saya kata saya cinta, tidaklah saya pasti.

tapi, setelah engkau menjadi suamiku, memegang ubun-ubunku sewaktu kita lagi berdua, berdoa kepada-Nya mensyukuri nikmat ikatan ini -- saya rasa saya jatuh cinta. jatuh yang begitu dalam.

sewaktu engkau begitu baik melayani isteri yang sangat beremosi ini, berusaha sedaya upaya memenuhi setiap kemahuan, sentiasa mengutamakan kehendak saya walaupun engkau sendiri tidak mencukupi -- saya rasa saya makin jatuh cinta. makin jauh makin dalam tapi saya tidak berhasrat untuk bangun semula.

sewaktu engkau menyiapkan sendiri pakaian kerjamu, membancuh sendiri kopi sebagai sarapan tatkala saya ketiduran gara-gara menyiapkan kerja lewat malam dan kau tidak sanggup mengejutku dari nyenyak -- saya sudah terlalu jatuh cinta denganmu, mas. tolong jangan begitu, sayu hati isteri melihat suaminya bersiap-siap sendiri. 

saya merancang untuk menulis tulisan ini lebih awal, tapi saya mahu angka 99 ini. saya berkira-kira untuk schedule post saja tapi saya batalkan fikiran tersebut. sebabnya, setiap hari perasaanku terhadapmu tidak sama. hari ke 99 belum tentu sama seperti hari yang ke 98. jadi, alhamdulillah masih diizinkan entri ini ditulis sepertimana yang dimahukan.

terima kasih selalu buat saya rasa istimewa di matamu. terima kasih kerana tidak pernah buat saya rasa tak cantik. terima kasih selalu mendoakan yang baik-baik untuk isterimu.

hari ini kita 99 hari, mas. semoga rasa yang ada hari ini kekal selamanya bahkan makin bertambah-tambah. semoga Allah SWT pelihara dan menjaga kita supaya sentiasa meletakkan-Nya sebagai yang pertama dan utama. 

setinggi-tinggi syukur dirafakkan kepada Allah SWT yang memperkenankan hajat kecil hamba ini. semasa mencadangkan tarikh nikah, tanggal 9 November 2019 menjadi pilihan utama. tidak saya kisahkan "tarikh cantik" seperti yang biasa sesetengah orang mahukan. saya lebih berminat dengan tarikh itu sebab bersamaan dengan hari mawlid nabi saw. dengan tidak malunya saya meminta kepada-Nya,

"aku okay saja mana-mana, ya Allah... asalkan diizinkan pernikahan ini. tapi, andainya Engkau approve 12 Rabi'ul Awwal, alangkah gembiranya aku, wahai Tuhan... aku ingin lebih mencintai nabi-Mu dengan lebih mengingatinya di hari bahagia kami dan seterusnya di ulang tahun pernikahan kami..."

dan Dia tidak mengecewakan. 

Rabbana hab lana min azwajina wa dzurriyyatina qurrata a’yunin waj-’alna lil-muttaqîna imama.

  • Share:

You Might Also Like

0 comment(s)

“Hanya sedikit ini yang kutahu, kutulis ia untuk-mu, maka berbagilah dengan-ku apa yang kau tahu.”