Jodoh dari Tuhan (Bhg. 1)

By Siti Ainum - March 24, 2019



Kredit : Pinterest


dalam tempoh waktu berjalan sendiri, pastinya aku bertemu ramai orang yang lalu-lalang di jalan yang sama. ada yang menegur sekadar berbasa-basi, ada yang berhenti seketika bertanya itu ini, ada pula yang berhenti lama namun akhirnya memilih untuk tidak lagi sehaluan bersama dan ada juga yang membuat keputusan untuk mengatur langkah biar kami jalannya seiring selamanya.

kalau aku harus jujur, pada awalnya aku hanya menerima untuk melangkah bersamanya atas alasan destinasi yang mahu dituju itu sama. jika berdua lebih menguntungkan, aku kira. jimat petrol, jimat tenaga dan segalanya boleh dikongsi dua bersama. tapi tidaklah aku capai tangannya kerana aku betul-betul suka tahap dia selalu berlari di minda, tidak juga -- mengikut perkiraan aku pada waktu itu, maka begitulah. rasa itu ada tetapi dalam timbangan yang masih ringan kerana mungkin awal permulaannya bukan pakai rasa tetapi lebih kepada keperluan mengapa dia yang dipilih (yakni atas dasar destinasi yang dituju itu sama). ah, pening!

biarpun sedang seiring dan sejalan, kadang-kadang aku terganggu dengan orang yang cuba mengalihkan perhatian. aku pula ramah, suka menegur dan ditegur tidak kira bertemu siapa. berbeza dengan dia yang cuma diam di tepi berkata bila perlu. pernah aku katakan, "aku tidak gusarkan kesetiaanmu, tuan... tetapi aku khuatiri aku." Ada ketikanya orang lain menunjukkan cabang jalan yang lain dengan tujuan yang masih sama. aku ada kalanya berkira-kira untuk melepaskan tangannya dan mengikut jalan yang lain, yang menurut aku lebih menyeronokkan dan serasi dengan kemahuan.

namun, kalau Tuhan mahu mengajar... Dia akan kasi nampak apa yang sebelumnya kita tidak nampak biarpun ia dekat di pelupuk mata. ternyata yang ada inilah yang paling bersungguh-sungguh mahu kami sampai ke tempat yang dituju dengan selamat bersama-sama. bukan sekadar berbasa-basi atau saja cuba nasib. aku mengaku bahawa aku yang tidak melihatnya dengan sesungguh hati, oleh sebab itu dia pun seringkali kelihatan kabur saja dalam pandangan. ternyata, memang dia... yang tulusnya membuka mata, ragu terhapus kerana tegarnya.

jadi, aku pilih untuk teruskan perjalanan denganmu saja, tuan.



Kredit : Pinterest



  • Share:

You Might Also Like

1 comment(s)

  1. Semoga perjalanan dapat dilayari hingga tiba ke destinasi bahagia yang abadi, walau rintangan di tengahnya sentiasa ada yang menanti.

    ReplyDelete

“Hanya sedikit ini yang kutahu, kutulis ia untuk-mu, maka berbagilah dengan-ku apa yang kau tahu.”