Sufi #2 : Jika Bulan Pernah Muram

By Ainum Lathifah - January 10, 2017


“Masuklah, Sufi. Duduk di sini ertinya merelakan diri jadi santapan nyamuk-nyamuk lapar.” Sepupu aku, Rani, tiba-tiba datang memecah lamunan. Aku sedikit kaget.

“Aduh, kau ini Rani… kasi salam dulu sebelum tegur. Untung aku masih sihat walafiat.”

“Lagi mengelamun, ya? Fikirkan siapa, dik Sufi yang manis?” Rani mengusikku nakal.

“Hish! Mengelamun apa kalau bunyi nyamuk terlalu dekat di telinga. Mahu berfikir pun tidak sempat.” Aku ketawa tawar. Dalam hati tertanya-tanya sendiri, memangnya aku lagi mengelamun tadi?

Rani mencebik. Dihirup perlahan kopi panas yang dibawa bersama.

“Mahu?” Kopi disua kepadaku.

“Terima kasih saja. Aku sudah lama tidak minum kopi.” Hm, kopi panas… pada bahagian ini pun aku belum lulus melupakan.

Rani kembali menghirup kopinya. Aroma kopi begitu kuat, bukan cuma hidung yang merasa tetapi ia berjaya menembus masuk ke dalam hati. Ah, kenapa harus kopi sekarang!

“Kenapa bulan kelihatan muram malam ini?” Monologku terhenti oleh suara Rani. Aku toleh kepadanya dan dia sedang memandang langit. Aku ikut pandang bulan yang pucat diselubungi awan.

“Mungkin bulan mahu kasi tahu yang… bulan yang cantik sempurna pun ada ketikanya kelihatan tidak sempurna.” Rani menyambung lagi. Aku tersenyum nipis.

“Aku tidak merasakan begitu, Rani. Kelihatan sempurna itu bergantung pada sesiapa yang melihat. Di mata aku, bulan masih tampak sempurna walaupun dengan rupa muramnya.”

“Okay, aku setuju. Awan tebal malam ini. Sang purnama tenggelam. Entah apa yang dibisik awan sehingga bulan muram sebegini.” Rani menyambung hirupan terakhir.

“Awan sedang lindungi bulan. Awan tidak mahu kecantikan bulan diratah mata orang. Aku rasa malam ini bulan purnama luar biasa bersinar. Oleh sebab itu awan menyelubunginya. Mungkin awan khuatir langit akan menjadi cerah dan kita tidak mampu lelapkan mata.” Belum sempat aku teruskan bicara, lenganku ditampar perlahan oleh Rani. Aku memandangnya hairan.

“Kau mahu merepek sampai ke pagi, Sufi? Jauh betul ulasan kau, ya. Sudah sampai ke bulan sana aku kira. Lekas masuk. Malam semakin dingin. Tidak elok anak dara duduk di luar rumah sekarang.”

Rani mula bangun dari duduknya. Cawan kopi dicapainya malas. Matanya masih memandang aku yang belum bersedia mahu bangun dari buaian kayu ini.

“Sufi… kau mahu aku jerit nama ibu? Nanti bukan cuma bulan yang muram malam ini tetapi juga Sufi Arini.” Rani guna taktik kasar. Hish, kalahlah kalau main nama ibu begini!

“Tetapi cerita bulan belum habis.”

“Cerita bulan tidak akan habis, Sufi. Yang penting kopi aku sudah habis.” Rani mula masuk ke rumah.

“Cerita kopi pun belum habis, Rani.” Aku menutur perlahan sambil bangun dari buaian. Sekilas aku merenung bulan sebelum masuk ke rumah dan aku terpegun…

Awan sudah pergi.


Besut, 7 Disember 2016 | © meremuna

  • Share:

You Might Also Like

0 comment(s)

“Hanya sedikit ini yang kutahu, kutulis ia untuk-mu, maka berbagilah dengan-ku apa yang kau tahu.”