Rindu sudah di depan mata

By Siti Ainum - February 16, 2022

betapa di hati aku terbuku kerinduan yang begitu banyak -- rindu yang mula melumut dan berumah.

kalau hati aku ini diibaratkan seperti kapal davy jones, maka rindu itu adalah anak kapal yang perlahan-lahan menjadi sebahagian dari kapal -- mengabdikan diri di situ. seperti ayah will turner yang makin lama makin hilang ditelan kapal.

begitulah keadaan rindu di hati aku. terbuku menjadi koleksi yang kalau aku susun dalam timbunan huruf, aku sudah boleh hasilkan 10 juzu' kisah atau mungkin lebih.

tapi aku juga tak mahu menulis tentang rindu-rindu aku yang aku sendiri tidak tahu sebenarnya hati ini mahukan siapa atau apa. untung hati kita ram besar, boleh diisi dengan kadar infiniti tanpa ada amaran "low space -- delete some of the files". mujur.

kalau rindu yang terbuku ini aku bukukan, apakah akan habis rindu ini setelah menjadi buku? kalau habis -- ya, aku mahu tulis.


Oktober 1, 2015 | 20:07


***


beberapa tahun sebelumnya, hidup aku seperti tak tentu hala. masa teramat banyak terluang tapi bukan semua terisi nikmatnya. terasa kosong, tak pernah cukup. tak tahu apa yang diri sendiri mahu dan perlu.

ternyata, setelah engkau hadir dalam hidupku, anak... hidup aku tak kurang terumbang-ambingnya, semakin tak cukup tidur, semakin bertambah kerisauan demi kerisauan, semakin banyak komitmen yang harus dipenuhi. kadang-kadang menangis sendiri tertekan dengan perasaan dan situasi sebagai seorang mama. masa yang dulu aku ada, sepertinya semakin melipat pergi.

tapi...

biarpun begitu, hati aku terasa penuh sekali.

dengan adanya engkau, anak.

hati aku tidak lagi kebingungan sendiri.

rindu yang bersarang berumah begitu banyak dulu rasanya seperti sudah terpenuhi.



hati aku... rasa cukup.



  • Share:

You Might Also Like

0 comment(s)

“Hanya sedikit ini yang kutahu, kutulis ia untuk-mu, maka berbagilah dengan-ku apa yang kau tahu.”