Wednesday, 25 March 2015

Baucer buku dan buku puisi


saya perasan sejak belakangan ini saya mampu memandang buku puisi yang semakin berlambak di muka bumi dengan pandangan yang lebih ringan. maksudnya, tidak terlalu 'gila' untuk beli sehingga sanggup menabung untuk membelinya (acah-acah ayat menabung).

saya mula sedar bila diri semakin meningkat dewasa, saya rasa lebih tahu apa yang saya perlukan dan apa yang ummah perlukan. telan air liur melihat baucer buku yang bernilai RM250. tak dapat sebab nama tiada berdaftar. tak apa. dan sebenarnya kempunan itu lebih kepada kerana sebelum ni dah berangan nak beli kitab tamadun dan kitab haraki yang harganya mencapai puluhan dan ratusan ringgit. 

saya melihat banyak baucer buku dihabiskan dengan membeli buku puisi atau novel. tak ada masalah. untuk kecintaan sendiri beratus ringgit habis untuknya pun tak mengapa. cuma sekarang pandangan makin lain, seiring dengan kematangan. dan saya cuma meletakkan pandangan saya untuk kegunaan saya sahaja. saya tidak mahu menyentuh minat dan pilihan orang lain. ini hanya untuk saya.

saya rasa saya tak sanggup habiskan beratus baucer buku yang secara percuma saya dapat itu hanya untuk buku puisi walaupun cinta terhadap puisi itu sudah jadi darah daging. sebab saya tahu ada lagi bahan bacaan yang lebih penting untuk dibeli. apabila saya sedar hakikat saya diciptakan di dunia ini adalah untuk menjadi 'abid dan khalif di bumi ini, terasa hidup bukan hanya perlu dipenuhi dengan apa yang kita inginkan sahaja.

sungguh saya tak mampu menafikan betapa saya mahu memiliki buku-buku puisi yang tulisannya sangat saya kagumkan. tapi saya juga perlu buat pertimbangan, apa yang lebih penting untuk didahulukan. dan tidaklah di sini saya kata saya tak akan beli langsung. maksudnya, bukan selalu kita dapat baucer percuma RM250 depan mata. benda yang susah untuk saya dapat, saya perlu laburkan pada perkara yang akan menguntungkan dunia dan akhirat saya. oh, jangan salah mengerti. bukan maksud saya buku puisi tidak mampu menguntungkan akhirat. kuasa tulisan ini mampu untuk sentuh hati siapa saja dengan izin Allah. kalau tak menguntungkan akhirat, takkan saya masih mahu menulis di sini. asalkan panduannya Qur'an dan sunnah. 

semalam saya tadabbur Qur'an dan terasa mendapat sedikit kefahaman tentang syair dan penyair. ada sebab kenapa Rasulullah s.a.w itu bukan seorang penyair. saya mahu terangkan rasa kabur. pernah saya ditegur oleh abang, saya lupa ayatnya bagaimana tapi isinya beginilah, hati-hati berpuitis dalam menyebut nama agama, boleh jadi lari maksud, boleh jadi lari kefahaman. dan saya rasa ada benarnya nasihat beliau. ada yang terlalu menjaga kecantikan ayat sehingga hilang adab dengan Tuhan. hati-hatilah dalam memilih perkataan. ini pesanan untuk saya juga.

siti ainum, semoga lebih bijak mengurus nafsu-buku. sedarlah ummah ini butuhkan apa. apakah sama apa yang ummah butuhkan dengan keinginan kau itu? 

bacaan yang bagaimana mampu untuk kembalikan kegemilangan peradaban Islam?

tepuk dada tanya iman.

jangan malas membaca bahan ilmiah, siti ainum!

kau itu da'iyah. sedar diri.


No comments:

Post a Comment

“Hanya sedikit ini yang kutahu, kutulis ia untuk-mu, maka berbagilah dengan-ku apa yang kau tahu.”