Kesan Kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah Terhadap Umat Islam

By Ainum Lathifah - March 03, 2015




Pada tanggal 3 Mac 1924, Khilafah Uthmaniyyah telah dihapuskan secara rasmi oleh Mustafa Kemal Ataturk, sang manusia berhala berjiwa serigala. Bermulalah pewartaan pemerintahan negara yang diasingkan dengan agama. Mahkamah-mahkamah syariah juga telah ditutup malahan jawatan Menteri Syariah dan Menteri Auqaf turut dihapuskan. Lebih menyedihkan apabila Khalifah Abdul Majid II yang merupakan khalifah terakhir kerajaan Islam Uthmaniyyah, telah dihalau keluar dari Turki bersama ahli keluarganya. 

Kejatuhan khilafah Uthmaniyyah telah meninggalkan implikasi yang buruk terhadap umat Islam. Antara kesannya adalah umat Islam hilang tempat bergantung. Kewujudan khalifah adalah umpama wujudnya penjaga terhadap umat Islam. Namun, setelah sistem khalifah dihapuskan umat Islam hidup dalam keadaan huru-hara dan ditindas tanpa belas kasihan. Mereka hidup tanpa ada pembelaan daripada sesiapa. Tiada yang mampu untuk menolong mereka melawan kuasa besar Barat. Pembunuhan beramai-ramai dan pemerkosaan terhadap wanita telah menjadi pemandangan biasa pada mata dunia. Mereka sekadar mendapat simpati tetapi tidak diempati. Tangisan ummah semakin nyaring namun belum ada yang mampu membantu untuk menghentikan tangisan yang tiada kata henti itu.

Di samping itu, kesan yang paling ketara setelah kejatuhan khilafah Uthmaniyyah adalah berlakunya perpecahan ummah. Sebelum wujudnya negara bangsa, kerajaan Islam disatukan di bawah satu pemerintahan khalifah manakala setiap kawasan pula ditadbir oleh gabenor masing-masing. Namun begitu, perancangan Barat untuk menyerang Kerajaan Turki Uthmaniyyah menerusi Perang Dunia Pertama telah mengakibatkan satu persatu wilayah Islam dikeluarkan dari pemerintahan khalifah. Hal ini demikian kerana, perpaduan umat Islam merupakan satu bencana besar bagi orang Barat. Lalu, mereka mengadakan satu pakatan untuk memecah-belahkan umat Islam dengan menjadikan mereka berpuak-puak dan mempertahankan kepentingan bangsa masing-masing. 

Seterusnya, umat Islam makin menderita rentetan daripada sejarah pemerintahan khalifah yang terpengaruh dengan budaya yang dibawa oleh Barat. Hal ini adalah merupakan satu kesan yang sangat buruk terhadap umat Islam selepas kejatuhan khilafah Uthmaniyyah. Ideologi sekular yang dibawa oleh Barat hakikatnya tidak membawa umat Islam kemana-mana. Pinjaman wang dengan bank Yahudi untuk mewujudkan Terusan Suez telah meninggalkan kesan derita yang berpanjangan terhadap umat Islam. Sikap mengagungkan budaya Barat ini telah menjadi punca kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyyah. Status Islam telah diturunkan darjatnya sebagai agama Ilahi yang serba komprehensif yang kini menjadi agama ritual yang terpinggir di sisi masyarakat Islam.

Kesimpulannya, kejatuhan khilafah Uthmaniyyah telah meninggalkan implikasi yang sangat besar terhadap umat Islam. Derita ummah semakin bertambah ibarat cendawan yang tumbuh setelah hujan. Kitaran tamadun yang dibuat oleh Ibnu Khaldun adalah benar sekali. Hebat mana sesebuah tamadun itu sampai masanya akan jatuh juga. Hal ini demikian kerana, apabila manusia itu telah tergelincir dari orbit Islam maka, fasa kejatuhan akan berlaku. Justeru, umat Islam haruslah mengambil iktibar daripada peristiwa kejatuhan khilafah Uthmaniyyah dan menggunakan pengetahuan tentang sejarah lampau untuk mengendalikan kepemimpinan Islam yang lebih baik daripada sebelumnya. 



Artikel oleh :
Siti Ainum binti Amijudin
Diploma Bahasa Arab dan Tamadun Islam
Semester Empat Tahun Dua
Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah


  • Share:

You Might Also Like

0 comment(s)

“Hanya sedikit ini yang kutahu, kutulis ia untuk-mu, maka berbagilah dengan-ku apa yang kau tahu.”